Jangan sampai Lemau

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mungkin boleh memikirkan perancangan sokongan bagi memastikan momentum anak-anak buahnya tidak terjejas selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ditangguhkan pada tahun depan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, Cheng Hoe perlu menggunakan masa yang ada untuk cuba membentuk pasukan yang lebih baik dan merangka strategi ampuh.

“Penangguhan ini sudah tentu bagus untuk pasukan negara. Tetapi Cheng Hoe tetap perlu ada perancangan yang efektif untuk mengaktifkan Harimau Malaya dalam keadaan tiada aksi kompetitif sehingga hujung tahun ini.

“Mungkin Cheng Hoe boleh membuat kem latihan untuk mengumpulkan pemain-pemain negara. Dalam masa sama, beliau perlu menjelaskan misi serta hala tuju kepada para pemain dalam tempoh ini agar mereka semua terus kekal bersemangat apabila saingan kelayakan disambung nanti.

“Aksi persahabatan dengan pasukan tempatan juga mungkin boleh diatur. Tetapi apa yang lebih penting adalah mengumpulkan pemain dalam satu kem terlebih dulu dan beliau mempunyai masa dengan para pemainnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan penundaan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan pandem!k C0v-19 yang masih belum menunjukkan tanda-tanda positif di beberapa buah negara di Asia.

Keputusan itu disambut baik oleh Cheng Hoe yang mengakui Harimau Malaya tidak perlu berdepan jadual padat selain beliau mempunyai lebih masa untuk menyediakan pasukan mengharungi baki aksi kelayakan itu.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan G kini menghuni tangga kedua di belakang Vietnam dan akan mengharungi tiga baki terakhir perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Dalam pada itu, Sathianathan mahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil kesempatan keputusan penangguhan tersebut yang bakal menyaksikan lebih masa boleh diberikan kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung.

“Mungkin MFL boleh mengubah sedikit jadual sebab sebelum ini kita kena bermain tujuh perlawanan dalam tempoh 28 hari. Penangguhan aksi kelayakan ini akan memberikan ruang atau tempoh yang sedikit lama kepada saingan liga.

“Ia penting untuk memberikan rehat yang cukup kepada pemain dan dalam masa sama mengelakkan keced3raan yang serius kepada pemain kerana perlu berdepan jadual padat,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/96545/BERITA/Sukan/Jangan-sampai-Harimau-Malaya-lemau © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf