JDT Bawa Masuk 4 Lagi Pemain Baharu

ISKANDAR PUTERI, Johor: Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membawa masuk tiga pemain tempatan dan seorang pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi kempen Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya kini dalam proses akhir bagi melengkapkan perpindahan berkenaan sebelum memperkenalkan mereka dalam masa terdekat.

“Proses melengkapkan perpindahan pemain ini sudah mencapai tahap 95 peratus, cuma ada beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan,” katanya selepas memperkenalkan pemain baharu JDT, Daniel Amier Norhisham, 23, yang mengikat kontrak selama dua tahun, di sini, hari ini.

Daniel Amier yang menyertai JDT daripada FELDA United akan menyarung jersi bernombor 16.

Tunku Ismail berkata, pada hari ini juga JDT menandatangani bakat muda dari Indonesia yang akan dilaporkan oleh media asing di negara jiran itu.

“Bila kita beli pemain, mereka bukan hanya nampak di sini, mereka berada di merata-rata. Contohnya, Endrick dos Santos yang sudah beraksi selama dua tahun di Pulau Pinang adalah pemain kami. Malah kami ada pemain yang beraksi di luar negara.

“Siapa sahaja kita tandatangani di JDT, satunya untuk kejayaan masa pendek atau pelan jangka panjang. Bintang muda seperti Danial Amier yang akan mengetuai JDT pada masa depan,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/768028/jdt-bawa-masuk-4-lagi-pemain-baharu