Penyumbang Terbesar

SIAPA sangka pentas Liga Malaysia (Liga M) yang sering dibelenggu masalah tunggakan gaji dan hanya diswastakan bermula musim depan dianggarkan bernilai RM738 juta membabitkan 24 pasukan.

Daripada jumlah itu, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) penyumbang terbesar dengan hampir setengah bilion atau lebih tepat RM530 juta kekayaan skuad Harimau Selatan itu.

Ia berdasarkan nilai pasukan JDT iaitu RM38.6 juta membabitkan JDT 1 dan JDT II selain aset dimiliki seperti pusat latihan di Padang Seri Gelam dan Padang Mawar, Stadium Larkin, Stadium Tunku Tun Aminah, Stadium Sultan Ibrahim, JDT HQ dan tanah berhampiran Johor Premium Outlet yang bakal dibangunkan sebagai pusat akademi JDT.

Jelas sekali pengurusan kewangan cekap banyak menyumbangkan kepada kejayaan JDT untuk muncul pasukan paling kaya dalam Liga M ketika ini dengan pasukan lain nyata jauh ketinggalan di belakang.

Perbezaan ketara itu terbukti dalam laman web www.transfermarkt.co.uk. apabila Kedah berada di tangga kedua dengan hanya merekodkan RM18.6 juta membabitkan nilai pasukan sahaja.

Selangor, Melaka United, Terengganu FC dan Pahang pula di belakang dengan masing-masing mencatatkan jumlah sekitar RM10 juta hingga RM17 juta.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim, kebergantungan pasukan Liga M kepada dana kerajaan negeri punca kebanyakan pasukan gagal menghimpunkan aset sedangkan saingan liga tempatan hampir 27 tahun melangkah ke era profesional.

Katanya, JDT contoh terbaik bagaimana pengurusan kelab terbabit menggunakan model bola sepak moden seperti mana diguna pakai kelab Eropah termasuk di England.

“Saya tak terkejut dengan kekayaan aset dimiliki JDT kerana mereka satu-satunya pasukan terawal yang bergerak sendiri tanpa mengharapkan bantuan dana kerajaan negeri ataupun ahli politik.

“Pasukan lain masih mengharapkan bantuan ahli politik dan ini sebabnya mereka gagal dalam pengurusan dalam erti kata yang sebenar.

“Bayangkan semua pasukan masih menumpang atau menyewa padang latihan dan juga stadium. Kebanyakan stadium kepunyaan pihak berkuasa tempatan seperti majlis bandaraya dan sebagainya.

“Sepatutnya sejak bola sepak kita masuk era profesional pada 1993, seharusnya semua pasukan ada padang latihan dan stadium sendiri, tetapi sebaliknya berlaku.

“Saya harap penswastaan yang dilakukan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) diikuti semua pasukan dan harap liga kita dapat berada dalam erti kata bola sepak moden yang sebenar,” katanya.

Untuk rekod, FAM menubuhkan Jawatankuasa Khas Pelesenan Kelab Profesional sejak tahun lalu dan semua pasukan wajib memisahkan FA kepada FC bagi memudahkan urusan penswastaan pasukan masing-masing.

Tanggal 30 September depan adalah tarikh akhir buat semua pasukan menswastakan pasukan dan kegagalan mengikut arahan menyebabkan pasukan terbabit disingkirkan ke saingan liga amatur atau Liga M3 mulai tahun depan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/08/612093/jdt-jadi-contoh-terbaik