JDT & KL City tersenarai

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Super sudah melepasi pusingan pertama dan ‘peloton’ mula dibentuk membabitkan kelompok atasan, pertengahan dan bawahan liga.

Tidak termasuk keputusan perlawanan semalam antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United, empat kedudukan teratas dikuasai JDT, Sabah FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC (TFC).

Kelompok pertengahan pula menampilkan Sri Pahang FC (SPFC), KL City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Melaka United (MU).

Zon bawahan dihuni Selangor FC (SFC), PJ City FC, Sarawak United dan Penang FC (PFC) namun tiada penyingkiran bagi musim ini sekali gus menyaksikan dua pasukan tercorot akan terselamat.

Namun, adakah pasukan Liga Super ini tampil lebih baik pada musim ini jika hendak dibandingkan dengan pencapaian mereka bagi musim 2021?

Disebabkan setiap pasukan mengharungi jumlah perlawanan yang berbeza-beza jadi BH Sukan mengambil kira pencapaian bagi jumlah perlawanan yang sama pada musim lalu dan musim ini.

Harus diingat, dua pasukan iaitu NSFC dan Sarawak United tidak terbabit dalam ‘cerita’ ini memandangkan mereka baru sahaja ‘dinaikkan pangkat’ ke Liga Super pada musim 2022.

Menerusi analisis ringkas, PFC yang terkenal dengan julukan ‘Harimau Kumbang’ paling teruk ‘tersembam’ selepas jatuh lapan anak tangga pada musim ini berbanding apa yang diraih mereka bagi musim 2021.

Selepas mengharungi 16 perlawanan pada musim lalu, PFC yang ketika itu dibimbing Tomas Trucha berada pada kedudukan keempat – jauh berbeza dengan kedudukan ke-12 yang dihuni mereka pada masa ini.

Selain PFC, beberapa pasukan lain juga disifatkan gagal mengekalkan momentum selepas mereka turut ‘tergelincir’ beberapa anak tangga berbanding pencapaian mereka pada musim lalu.

Antaranya KDA FC dan SFC yang masing-masing jatuh empat anak tangga pada musim ini, begitu juga TFC dan PJ City FC yang turun dua anak tangga berbanding kedudukan mereka pada musim ini selepas mengharungi jumlah perlawanan yang sama.

Bagaimanapun, tiga pasukan dilihat tampil dengan lebih ‘mengancam’ apabila dua pasukan iaitu Sabah FC dan SPFC menjadi ‘the biggest climbers’ selepas masing-masing naik empat dan lima anak tangga berbanding musim lalu.

Sabah FC di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee kini berada di tangga kedua berbanding tangga ketujuh selepas 16 perlawanan musim lalu sementara skuad ‘Tok Gajah’ pula berada pada tangga kelima berbanding kedudukan kesembilan selepas 17 perlawanan.

Hanya dua pasukan yang kekal seperti pencapaian musim lalu iaitu skuad Harimau Selatan yang konsisten berada di puncak liga selepas 14 perlawanan bagi dua musim ini, begitu juga KL City FC yang masih berada di tangga keenam selepas mengharungi 15 perlawanan musim 2021 dan 2022.

Ikuti perkembangan terkini liga bola sepak Malaysia di channel ini : https://t.me/malaysianfootballleague