Jom Tolong Pawi

KUALA LUMPUR: Sokongan daripada seluruh peminat bola sepak tanah air menjadi harapan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid untuk merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020.

Mengakui gembira dengan pencalonan bersama 19 lagi pemain muda berbakat di rantau Asia, Safawi menganggap ia satu penghargaan besar buat diri dan kerjayanya.

“Sudah tentu gembira dapat pencalonan ini sebab bukan senang nak dapat

“Pertama sekali saya nak berterima kasih kepada keluarga, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan tak lupa juga penyokong yang sentiasa menyokong saya,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Safawi berpeluang mencipta nama di pentas Asia selepas tercalon bagi Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia atau ‘Asia’s Choice – Fan Awards: Best Young Player in 2020’ yang dianjurkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Safawi bagaimanapun akan berdepan cabaran hebat daripada calon lain termasuk bintang muda Jepun berusia 19 tahun, Takefusa Kubo yang kini beraksi bersama kelab Sepanyol, Villarreal.

Pemain tengah Korea Selatan, Won Du-jae juga dianggap antara pencabar utama Safawi yang mana pemain itu mengecapi musim 2020 penuh gemilang apabila membantu skuad negaranya meraih gelaran Kejuaraan B-23 AFC.

Malah, dia dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan itu, selain muncul juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Ulsan Hyundai.

Bagaimanapun, peluang untuk Safawi merangkul anugerah ini tetap terbuka dengan dia pernah diundi sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik Sedekad ACL pada September lalu.

AFC menjelaskan senarai calon itu adalah mereka yang berusia 23 tahun atau ke bawah pada 31 Disember lalu dan peminat boleh membuat undian pada laman rasmi badan induk itu, The-AFC.com dengan pemenang akan diumumkan pada 24 Januari ini.

Sumber : BH