Juventus Semakin Hampir

MILAN: Juara bertahan Juventus melonjak ke tangga keempat Serie A selepas menewaskan Sassuolo 3-1.

Skuad kendalian Andrea Pirlo memenangi aksi liga ketiga berturut-turut mereka buat pertama kali musim ini, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu AC Milan kepada tujuh mata serta bermain kurang satu perlawanan.

“Penting untuk mengekalkan rentak dan menang malam ini, kerana jika tidak perlawanan di San Siro Rabu lalu tidak bermakna,” kata Pirlo yang skuadnya menamatkan deretan 27 perlawanan tanpa kalah Milan Rabu lalu.

Sassuolo kehilangan seorang pemain di awal babak kedua apabila Pedro Obiang dilayangkan kad merah kerana mengasari Federico Chiesa.

Danilo meletakkan Juventus di depan pada minit ke-50 menerusi gol pertama pemain pertahanan itu musim ini.

Namun tujuh minit kemudian Sassuolo merapatkan jurang menerusi Gregoire Defrel.

Pemain gantian Aaron Ramsey kembali meletakkan Juve di depan lapan minit sebelum tamat permainan dan Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan pasukannya. – AFP

Sumber: BH