Kami mendahului 6 mata

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora enggan mendabik dada walaupun pasukannya kini selesa memimpin Liga Super dengan kelebihan enam mata.

Ia susulan kemenangan 3-1 Harimau Selatan ke atas Selangor dan kekalahan 0-2 pencabar utama mereka, Terengganu FC (TFC) di tangan Melaka United FC, malam tadi.

Mora bagaimanapun menganggap perjalanan pasukannya masih jauh dan perlu mengharungi tujuh lagi baki perlawanan sebelum boleh mengesahkan kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut.

“Terdapat kombinasi keputusan dalam bola sepak, kami menang mereka kalah. Satu perkara yang bagus apabila kami mendahului enam mata.

“Saya rasa kami mahu menjadi juara sejak perlawanan pertama lagi, tapi perjalanan masih jauh. Kita tidak tahu mungkin ada kejutan dan setiap pasukan walaupun yang berada di kedudukan bawah, mereka akan beri tentangan 150 peratus.

“Kita sedar perkara itu, jadi kami perlu berhati-hati dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Tiga mata malam ini (tadi) beri keyakinan kepada pemain. Tapi kami hormati liga dan lawan yang akan datang, kami perlu bersedia untuk berdepan Perak (Sabtu ini),” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali Selangor, Karsten Neitzel menganggap kegagalan anak buahnya menyudahkan beberapa peluang terutama pada babak kedua menjadi antara punca Red Giants gagal mendapat keputusan lebih positif.

“Kami perlukan mata dan persembahan yang baik. Tapi kami perlu tingkatkan hantaran terakhir, penyudah dan juga transisi dalam permainan.

“Kami perlu bekerja keras dan akan kehilangan beberapa pemain untuk perlawanan seterusnya kerana kad kuning dan kecederaan.

“Sekarang tempoh yang sukar bagi kami, tapi kami akan hadapi cabaran itu. Kami perlu lakukan proses pemulihan dengan baik dan saya akan lihat beberapa pemain dari pasukan kedua,” katanya.

Sumber : harian metro