Kan dah ada kluster bola sepak

KUALA LUMPUR: Biarpun tidak melibatkan perlawanan profesional Liga Malaysia (Liga M), yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) amat ketat, namun kluster bola sepak sudah berlaku di Tawau yang menyebabkan ramai dijangkiti Covid-19.

Itu kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjelaskan mengapa perlawanan bola sepak tidak dibenarkan berlangsung sedangkan Liga M menunjukkan rekod bersih tanpa ada satu pun kes Covid-19 dicatat selepas 139 saingan diadakan – Liga Super, Liga Perdana dan pusingan awal Piala Malaysia.

Semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa membatalkan baki tujuh saingan Piala Malaysia yang sepatutnya bermula hari ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan mereka untuk meneruskan pertandingan di venue ‘hijau’ iaitu Kelantan dan Pahang.

MKN sebaliknya mengarahkan MFL menunda perlawanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu, keputusan yang tidak boleh dilakukan oleh MFL kerana ia akan menyebabkan pasukan kerugian jutaan ringgit kerana menanggung kos tambahan.

“Ramai orang kata kenapa dibatalkan bola kerana tiada kes kluster bola sepak. Kalau kita tidak lupa, di Tawau (Sabah) seorang pengadil mengadili perlawanan bola sepak dan dia positif Covid-19.

“Seluruh pasukan ‘kena’ dan pasukan itu pula membawa jangkitan kepada orang lain…jadi perkara itu (kluster bola sepak) sudah berlaku di Tawau,” katanya dalam sidang akhbar sebentar tadi.

Ismail Sabri merujuk kepada pertandingan bola sepak sembilan sebelah di Padang Penjara Tawau dan Padang Stadium Majlis Perbandaran Tawau (MPT), September lalu yang menjadi punca utama penularan kes Covid-19 di Sabah.

Dalam sidang akhbar itu juga, Ismail Sabri mengulas mengenai keputusan tidak membenarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berlepas ke Doha, Qatar untuk aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) sedang pelumba MotoGP negara sebelum itu diberi kebenaran untuk ke Eropah.

“Pelumba MotoGP sewaktu PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), yang mana kita memberi kebenaran. Itupun bukan dalam kumpulan besar.

“Bola sepak sekarang dalam PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), dan kita amat ketat dalam memenuhi polisi tidak membuka sempadan negara, sama ada dari luar untuk masuk atau kita keluar, terutama dalam kumpulan besar.

“Sebenarnya JDT telah dimaklumkan perkara ini, mereka juga bersetuju tidak menghantar pasukan. Mereka pun nak jaga keselamatan dan nyawa pemain-pemain.

“Bayangkanlah JDT satu pasukan yang mempunyai pemain-pemain profesional, kalau sorang saja kena tak kiralah pemain atau bahagian teknikal, seluruh pasukan akan dikuarantin dan itu lebih menyusahkan JDT sendiri.

“Mereka faham tentang perkara ini, jadi JDT tidak ada masalah untuk tidak menghantar pasukan ke ACL,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/11/kan-dah-ada-kluster-bola-sepak-ismail-sabri/