Kasut Emas Khalid hampir cecah ratusan ribu ringgit

HARGA sebenar Kasut Emas Khalid Jamlus yang berjaya dilelong adalah RM99,999.

Demikian pengesahan pemilik Kasut Emas itu, Khalid Jamlus yang memenanginya pada musim 2002 selepas dinobatkan penjaring terbanyak dengan 17 gol pada musim itu.

Jelas Khalid, hasil lelongan yang dibuatnya di laman sosial miliknya, dia sudah menemui pembeli bernama samaran ‘Tuah Nice’ yang kini berada di Australia dan akan pulang ke tanahair September ini.

“Individu terbabit hanya mahu dikenali sebagai Tuah Nice dan dia kini berada di luar negara. Dia menghubungi saya dan mengatakan ‘Khalid, saya mahu but itu dan katakan sahaja berapa harganya.’

“Saya letakkan harganya dan dia bersetuju dengan apa yang saya minta. Dia menyokong saya dan mahu kasut itu pada harga seperti yang dinyatakan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Bertemu Peminat di sini, hari ini.

Katanya lagi, dia turut berkongsi cerita di mana dia pernah ditipu oleh seseorang ketika membuat bidaan untuk Kasut Emas itu sehingga memaksa dia membuka bidaan sekali lagi.

“Ada individu yang cuba main-main apabila membida sebelum ini, jadi sebab itulah saya buka bidaan sekali lagi. Walaupun saya tidak pernah berjumpa dengan Tuah tetapi saya percaya kepada dia.

“Jadi sekarang saya cuma tunggu dia balik ke sini untuk mengambil kasut ini,” katanya.

Dalam masa sama, Khalid turut menegaskan betapa harga RM99,999 itu berpatutan dengan nilai anugerah itu walaupun tidak dinafikan ia memiliki nilai sentimentalnya yang tersendiri.

“Saya bertanyakan pendapat daripada pemain legenda dan mereka katakan, anugerah ini ada nilai sentimental dan saya sendiri yang boleh letakkan berapa harganya.

“Apabila dikenang semula, tidak mudah untuk memenangi anugerah itu pada 2002 dan tiada lagi anugerah seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, Khalid terpaksa menempuh kehidupan yang sukar selepas tidak bekerja selama tiga tahun dan dia terpaksa melelong semua koleksi medal, jersi dan kasut emasnya itu demi kelangsungan hidupnya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/07/603793/kasut-emas-khalid-hampir-cecah-rm100000