Penyerang Lagenda Bersuara

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir dan Azman Adnan saran semua pihak terutama pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman atau Zamsaham untuk bijak kawal emosi dalam sama-sama membangunkan bola sepak negara.

Kedua-dua legenda bola sepak negara itu menekankan dalam dunia sukan perlu ada semangat kesukanan dan bukannya berbalah, menuding jari.

“Hakikatnya apa yang penting ialah prestasi pasukan serta pemain dan apa yang saya lihat, itu juga ada peningkatan terutama dalam kemenangan pasukan negara ketika perlawanan Pra Piala Dunia sebelum pandemik COVID-19 melanda. Jadi apa isu dia (Zamsaham)?,” kata Jamal.

“Jadi beliau dan pemilik kelab di Malaysia ini seharusnya memikirkan cara menghasilkan pemain yang baik untuk disumbang kepada negara.

“Saya sarankan Zamsaham harus kawal emosi, jangan meluahkan segala rasa di media sosial kerana apabila kita ni menuding jari pada seseorang, empat lagi menuding ke arah kita,” katanya.

Jamal dan Azman turut akui ketika ini ranking skuad kebangsaan negara sedang meningkat semula, tidak menurun malah berada dalam momentum yang baik.

“Beliau juga harus tahu bahawa ada peraturan yang ditetapkan oleh badan induk mahupun organisasi di mana-mana sekalipun bahawa sebarang ketidakpuas hatian perlu dirujuk dalam mesyuarat dan tidak boleh diluahkan dalam media sosial.

“Seharusnya kita memikirkan apa yang lebih baik untuk bola sepak untuk berdepan isu COVID-19 yang mana itu yang sedang FAM dan MFL usahakan ketika ini.

“Sebagai pemimpin atau pemilik pasukan dia seharusnya menonjolkan kredibiliti yang lebih baik terutama dalam memberi maklumat dan mendidik penyokong dengan fakta,” kata Jamal.

Azman yang merupakan tonggak Harimau Malaya yang membawa skuad kebangsaan dalam ranking terbaik iaitu 75 pada 1993,
menekankan semua pihak jangan dibayangi sejarah dan sebaiknya menumpukan pada masa depan.

“Jangan mengaitkan atau mengheret perkara lain terutama perihal skuad kebangsaan dalam pertikaian membabitkan persatuan dengan mana-mana pihak mahupun badan induk.

“Anda perlu buktikan kejuaraan pasukan atau kelab dahulu, hasilkan pemain yang baik buat Malaysia, sila jaga periuk sendiri dan tak perlu jaga dua periuk.

“Apa yang penting sejak dua ke tiga tahun ini, dalam tempoh singkat ranking Harimau Malaya sedang naik semula dari 178 ke 153 bagi saya cukup memuaskan dan berkat kerjasama semua pasti ia akan meningkat lagi,” katanya.

Azman juga menasihatkan semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha meningkat momentum ini terutama buat pasukan Liga Malaysia dalam hasilkan pemain terbaik buat Harimau Malaya.

Sumber : VocketFC