KDA FC Bakal Ada Kejutan

Alor Setar: Selepas mengikat penjaga gol legenda berpengalaman Khairul Azman Mohamed untuk jawatan jurulatih penjaga gol baharu skuad Hijau Kuning, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka akan melakukan kejutan seterusnya dalam persiapan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

KDA FC yang diramalkan bakal bersaing hebat turut dilihat sedang giat melakukan perancangan akhir sebelum mengumumkan beberapa nama pemain importnya yang baharu dan sudah dikenal pasti bersama senarai lengkap hujung Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali berkata walaupun pasukan hampir lengkap dengan pencapaian 99 peratus, namun masih ada lagi kejutan yang akan diumumkan seperti mana beberapa nama pemain tempatan yang diketahui bersama skuad Hijau Kuning melalui media rasminya sebelum ini.

“Dari segi pentadbiran memang ada kejutan.. tapi kalau kita tengok situasi semasa seperti dalam latihan sudah viral beberapa pemain dan jurulatih dan itu kita nampak macam sebahagian perkara itu sudah diketahui.

“Tetapi kalau ikut kepada perancangan pasukan, masih ada lagi kejutan cuma masa untuk ‘set up’ pasukan masih ada dan akan habis pada bulan Februari depan.

“Maksudnya klausa untuk kita cari pemain itu masih lagi ada dan kita pun dalam hal urus tadbir pasukan ini kita tak boleh kelam kabut buat cepat-cepat, tapi alhamdulillah setakat ini kita sudah dapat siapkan pasukan kita ini dengan 99 peratus lengkap.

“Ada sedikit lagi perkara yang kita rasa perlu kita lengkapkan yang belum kita dedahkan buat masa ini termasuk melakukan penambahbaikan dan beberapa perkara itu kita perlu selesaikan dengan jurulatih agar urusan kita lebih mampan pada masa akan datang”. katanya.

Khamal yang juga pemain legenda Kedah dan kebangsaan era 90-an dan sebaris pemain legenda Radhi Mat Din, Azmi Mahmud, Ahmad Sobri, Nor’Azam Ishak dan lain-lain turut menyimpan impian besar untuk pembangunan KDA FC agar dapat mencapai kecemerlangan suatu hari nanti dan mampu setanding dengan apa yang diusahakan oleh Kelab Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) kini.

“Bila perubahan ini berlaku dari FA ke FC, kita akan cari jalan dalam satu jangkamasa untuk tarik pelaburan dan sebenarnya ada orang yang berminat, kerana kita perlu ada kompleks sukan sendiri.

“Walaupun kita tak setanding JDT, tapi dengan bajet yang tertentu kita mampu untuk bina prasarana ini dan disamping itu kita akan tingkatkan modal syarikat.

“Kita mahu ke arah itu dan kita ada cara kita tersendiri dan Insya Allah boleh kita capai dan yang penting kita perlu pasang niat yang elok.” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/657011/kda-fc-masih-ada-lagi-kejutan