Kedah Darul Aman FC Bakal Punyai Pemilik Baharu

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) bakal mempunyai pemilik baharu apabila 80 peratus saham kelab dibeli oleh sebuah syarikat tempatan.

Bagaimanapun, KFA tetap memiliki saham sebanyak 20 peratus dan akan memberi fokus kepada pembangunan akar umbi dan saingan liga anjuran badan induk itu.

“Syarikat ini akan memiliki 80 peratus manakala Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebanyak 20 peratus. Saya berasa sangat lega kerana beban Kerajaan Negeri akan berkurangan selepas ini.

“MBI Kedah dan syarikat itu sedang perhalusi terma serta undang-undang. Kita jangka akan selesai dalam tempoh dua minggu ini bagi proses pemilikan saham.

“Syarikat berkenaan akan mengendalikan pembiayaan pasukan untuk musim depan. Oleh kerana saham mereka besar, maka banyak keputusan berkaitan kelab akan dibuat syarikat ini.

“KFA pula akan fokus kepada liga tempatan misalnya liga Piala Menteri Besar yang akan diadakan semula pada tahun depan,” katanya dipetik dalam Bernama.

Perjanjian pembelian saham kelab akan dimeterai pada minggu depan. Namun begitu, Sanusi tidak dapat menyatakan jumlah yang tepat dan beliau menyasarkan RM25 juta untuk pembiayaan pasukan.

“Saya juga sudah arahkan, sebelum penjualan kena tahu kemampuan sebenar kewangan, sebab penyusunan pasukan musim lepas di luar kemampuan, jadi hutang tertunggak dan berlaku tunggakan gaji.

“Saya sasarkan RM25 juta untuk pembiayaan pasukan tetapi ini terserah kepada pemilik, kalau hendak melabur lebih,” katanya.

Sumber : https://www.vocketfc.com/80-peratus-saham-kedah-darul-aman-fc-bakal-dimiliki-oleh-syarikat-tempatan/