KDA FC Hampir Dimalukan

UiTM FC terus dirundung malang dan kali ini, giliran Kedah Darul Aman (FC) pula ‘memberi kuliah’ selepas mereka tewas 1-0 pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad bimbingan Frank Bernhardt itu gagal merasai sebarang kemenangan selepas lima perlawanan dan hanya meraih satu mata setakat ini.

Situasi ini jelas jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan prestasi musim lalu apatah lagi mereka hanya mampu menggegar gawang lawan hanya sekali musim ini.

Pada aksi terbabit, pelawat mendominasi sebahagian besar permainan dan melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang UiTM FC namun tidak membuahkan hasil.

KDA FC dipaksa menunggu sehingga hujung babak pertama untuk beroleh gol pendahuluan selepas Faizat Ghazali menyudahkan hantaran Rabih Ataya daripada sepakan percuma pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua, UiTM FC berdepan tugas sukar untuk bangkit apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Muhd Farid Nezal dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-53.

Bagaimanapun, gol tunggal pada babak pertama sudah cukup membolehkan KDA FC meraih kemenangan mutlak sebelum liga berehat.

Sumber : BH