Kedah Jawab Spekulasi Hangat

KUALA LUMPUR: Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menafikan spekulasi yang hangat bermain di media sosial ketika ini bahawa pasukan itu akan mendapatkan khidmat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali menganggap ia hanya spekulasi biasa yang dicetuskan oleh pihak tertentu di media sosial.

“Media sosial itu biasa, adakah (berita) di media sosial itu satu benda yang pasti? Setakat ini kelab kita tiada info atau perjumpaan. Itu hanya spekulasi.

“Tak ada apa (perbincangan dengan Sumareh dan Liridon). Buat tak tahu sahaja, nama pun media sosial. Dia boleh baling batu dan sembunyi tangan. Tapi orang boleh percaya, itu yang bahaya,” katanya kepada BH Sukan.

Spekulasi mengenai dua pemain berstatus naturalisasi itu akan dipinjamkan JDT ke Kedah untuk saingan musim depan mula hangat diperkatakan selepas ia tersebar di media sosial sejak semalam.

Liridon sememangnya bukan pemain yang asing bagi bola sepak Kedah apabila dia pernah beraksi bersama Helang Merah sejak 2015 hingga 2018 dan mencipta beberapa kejayaan bersama skuad itu.

Sumareh pula akan kembali ke Malaysia selepas tidak menyambung kontrak bersama kelab Thailand, Police Tero FC dan terdapat spekulasi bahawa dia akan menyertai JDT.

Selain itu, Khamal mengakui pihaknya sedang berusaha memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

“Pemain baharu biasa sebab mana-mana pasukan pun ada. Cuma nanti Menteri Besar akan umum. Kejutan ini hanya akan ada pemain baharu sahaja, yang lain saya ingat tiada isu apa-apa.

“Setiap tahun persiapan pasukan berbeza, kalau kata kita ambil Sergio Aguero itu baru kejutan. Kita persiapkan pasukan supaya lebih mantap dari tahun lalu, itu saja yang kita buat,” katanya.

Sumber : BH