Kedah Putus Tak Sambung Kontrak

Pasukan Kedah memutuskan untuk tidak menyambung kontrak salah satu pemain yang paling lama berkhidmat bersama skuad Hijau Kuning, Khairul Helmi Johari bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini disahkan oleh pasukan menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi dimana Khairul Helmi atau yang lebih mesra disapa Keon itu tiada dalam perancangan skuad kendalian Aidil Sharin itu bagi mengharungi musim 2021.

Khairul mula beraksi bersama Kedah bermula pada musim 2007 lalu, disamping seorang lagi pemain senior yang turut dilantik sebagai ketua pasukan bagi musim 2020, Baddrol Bakhtiar.

Bersama Kedah, Khairul berjaya memenangi semua kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia dimana beliau memenangi Liga Super (2006/2007, 2007/2008), Piala Malaysia (2007, 2008, 2016), Piala FA (2007,2008,2017,2019), Liga Perdana (2005/2006, 2015) dan Piala Sumbangsih (2017).

Masih belum jelas mengenai destinasi pemain berusia 32 tahun ini pada musim 2021 nanti, sama ada beliau kekal beraksi dalam saingan Liga Super atau mencuba cabaran di Liga Perdana.

Sebagai seorang pemain yang mempunyai pengalaman luas dan pernah memenangi banyak kejuaraan, khidmat beliau sudah pasti ditagih oleh banyak pasukan bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

Sumber : https://www.vocketfc.com/kedah-tidak-sambung-kontrak-khairul-helmi/

https://www.facebook.com/kedahfa.my/posts/3868886186477163