Kedah Selesai Hutang

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) berjaya melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan hutang yang mencecah RM15.5 juta.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya bersyukur kerana baki hutang terkini hanya sekitar RM5.5 juta selepas pihaknya mengambil alih pengurusan badan itu Mei lalu.

Menurutnya, pihaknya membuat pembayaran kepada pihak terlibat secara beransur-ansur dan yakin kesemua hutang dapat diselesaikan menjelang Disember ini.

“Pada mulanya saya umum hutang KFA sekitar RM10.6 juta, kemudian setelah disemak secara terperinci hutang itu meningkat kepada RM14 juta. Terkini, selepas ada pihak tampil kemudian kemukakan dokumen berkaitan, hutang itu cecah kepada RM15.5 juta,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Menteri Besar Kedah itu berkata, semua tunggakan gaji bagi April, Mei dan Jun skuad hijau kuning termasuk pegawai pasukan itu berjumlah RM4.8 juta telah selesai dibayar pada bulan lepas.

“Selepas ini pemain tidak lagi dibelenggu masalah kewangan akibat gaji tidak dibayar, mereka dapat fokus kepada pemainan. Soal pengurusan biar kami uruskan, pemain hanya perlu pamerkan kecemerlangan agar Kedah kembali muncul sebagai pasukan digeruni,” katanya.

Menurut beliau, selain tunggakan gaji dan hal berkaitan pengurusan, sekitar RM800,000 hutang adalah berkaitan perkhidmatan membabitkan beberapa buah syarikat seperti pengangkutan, agensi pelancongan, konsultan serta agen.

“Kita berjaya selesaikan hutang itu dengan kerjasama penaja-penaja serta syarikat yang tampil memberi komitmen untuk bantu KFA, tanpa gunakan sesen pun dari kantung kerajaan negeri,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya komited membangunkan bola sepak Kedah bawah pengurusan baharu dan mahu KFA dan pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC berintegriti dalam melaksanakan amanah mengurus pasukan.

Syarikat tempatan terbabit yang masih belum diumumkan bakal memiliki 80 peratus saham KDA FC manakala KFA sebanyak 20 peratus, sekaligus mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/110507/BERITA/Sukan/Hutang-KFA-RM10-juta-selesai © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf