Kehadiran Menguatkan Jentera Serangan

KUALA TERENGGANU: Penyerang muda, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi pemain pertama menandatangi kontrak bersama pasukan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata pemain kelahiran Pulau Pinang dan beraksi bersama Pahang musim lalu itu mengikat kontrak selama dua tahun.

“Ya, kita baharu sahaja selesai menandatangi kontrak pemain berasal dari Pulau Pinang itu. Pemain berusia 22 tahun itu diikat selama dua tahun bermula 2021 hingga 2022. Keputusan menggunakan khidmat Faisal adalah percaturan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

“Kehadiran pemain yang lebih mesra dipanggil Mickey itu bakal memperkuatkan lagi jentera serangan dan tengah pasukan kerana dia mempunyai kebolehan menggelecek serta menjaringkan gol.

“Kita mengalu-alukan pemain itu dan pada masa sama mengharapkan dia mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan, lebih-lebih lagi TFC bakal bersaing dalam pentas Piala AFC musim depan,” katanya semalam.

Bekas pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu memulakan karier dengan menyarung jersi Pulau Pinang pada 2015 sebelum menyertai Pahang setahun kemudian. Faisal yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian, Pulau Pinang sebelum ini pernah menyertai program realiti Mencari Ramli.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/762284/mickey-sah-sertai-tfc