Kehadiran Pemain Ini Menguatkan Jentera Serangan

Seremban: Negeri Sembilan bakal mempunyai jentera bahagian tengah yang lebih mantap berbanding sebelum ini, apabila berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka United (MU), Saiful Ridzuwan Selamat, bagi mengemudi bahagian berkenaan.

Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur berusia 27 tahun itu dijangka akan menjadi watak pening buat Negeri Sembilan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sumber Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengesahkan pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa dan Liga Super itu sudah menandatangani kontrak dengan kelab itu, semalam.

“Bekas pemain remaja kebangsaan itu sudah membuat keputusan untuk bersama Negeri Sembilan musim depan bagi membantu pasukan layak ke Liga Super.

“Kami yakin, pengalaman Saiful yang juga pernah beraksi bersama Selangor dan UiTM FC dapat memperkasakan lagi jentera pasukan terutama di bahagian tengah.

“Malah, pemain yang pernah menerima bimbingan bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee ketika dalam skuad Harimau Muda, mampu menghadirkan impak positif kepada kekuatan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain MU, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir turut bersama Negeri Sembilan musim depan.

Sumber itu berkata, Ferris pernah bersama Negeri Sembilan pada musim 2018 dan 2019.

“Pemain kelahiran Kelantan berusia 29 tahun ini beraksi di posisi penyerang dan berdasarkan rekod, dia seorang pemain yang lincah dan yakin dia mampu menjadi pelengkap kepada jentera serangan pasukan.

“Walaupun hanya semusim bersama Melaka, namun pengalamannya yang pernah beraksi bersama Terengganu FC, sudah tentu Ferris mampu menyumbang yang terbaik kepada Negeri Sembilan, tambahan pula dia pernah bersama sebelum ini,” katanya.

Difahamkan ketika ini, ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin yang baharu dilantik, K Devan sedang mengendalikan pemilihan secara tertutup, bagi melengkapkan senarai pemain menjelang saingan yang dijangka bermula Februari tahun depan.

Sumber-https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/654280/saiful-ferris-perkasa-ns