Kelantan FC Tanggung Rugi?

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 belum lagi bermula, namun ketika ini bertiup kencang terdapat empat dalang yang menyebabkan Kelantan FC terpaksa menanggung kerugian.

Walaupun jumlah berkenaan masih lagi menjadi rahsia, ia dipercayai ada kaitan dengan persediaan pasukan itu dalam mengharungi saingan liga 2021.

Menurut kenyataan media penasihat undang-undang TRW Kelantan FC, nama empat individu terbabit tidak diumumkan berikutan sudah membuat permohonan maaf pada tengah hari tadi.

Empat individu terbabit dikatakan amat dikenali dalam arena bola sepak tempatan dan sering terbabit secara langsung bersama pasukan Liga M.

”Pihak Kelantan FC sudah menerima surat permohonan maaf dan penangguhan kali ke-2 pada jam 2.04 petang daripada wakil empat individu yang terbabit dalam penipuan ini. ”Mereka berjanji melangsaikan hutang dan memenuhi semua perjanjian termasuk ganti rugi yang dijanjikan sebelum 26 November ini.

“Selepas tarikh terbabit, jika mereka gagal melaksanakannya, kami akan meneruskan tindakan undang-undang termasuk saman bagi mendapatkan ganti rugi atas kerosakan yang sudah berlaku,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, kenyataan terbabit menyebabkan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) diserang dan dituduh antara dalang empat individu terbabit.

”Pihak pengurusan Kafa menerima puluhan panggilan daripada orang ramai yang mahu mengetahui situasi sebenar termasuk empat dalang itu.

”Namun, apa yang boleh saya katakan, Kafa tiada masalah dengan pemilik baharu TRW Kelantan FC kerana semua perjanjian sudah selesai.

”Malah, Kafa juga tiada hutang dengan TRW Kelantan FC dan mungkin masalah itu membabitkan orang luar,” katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/topic/arena/2020/11/645575/empat-dalang-mohon-maaf