Keputusan Terkini Aksi Liga Malaysia

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan keputusan untuk memulakan Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 adalah demi kepentingan kelangsungan aksi domestik.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata keputusan itu dicapai selepas mendapat pandangan dan persetujuan daripada rakan kongsi liga menerusi mesyuarat dalam talian bersama CEO-CEO kelab semalam.

Jelasnya lagi, MFL selaku pengelola Liga Malaysia amat memahami beberapa kekangan selepas menyedari persiapan setiap kelab sedikit tergendala untuk menghadapi musim baharu.

Bagaimanapun, keputusan sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 adalah langkah terbaik buat masa ini demi memberikan laluan kepada pasukan kebangsaan yang bakal beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di samping survival industri bola sepak domestik selepas mendapat persetujuan daripada CEO-CEO kelab.

“Perkara berhubung sepak mula Liga Malaysia bermula 5 Mac 2021 adalah keputusan relevan buat masa ini dan perkara ini telah mendapat sokongan daripada setiap wakil kelab ketika mesyuarat dalam talian bersama CEO-CEO kelab semalam.

“Untuk makluman, pasukan negara meminta untuk membuat persiapan akhir dengan mengadakan sesi latihan pusat pada bulan depan selepas perlawanan kelayakan dipinda ke Jun depan. Ini penting memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sudah setahun tidak berlatih bersama.

“Perjuangan pasukan kebangsaan adalah agenda nasional di mana wakil-wakil kelab berasa bertanggungjawab dalam memastikan Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk mendapat slot automatik ke pentas Piala Asia 2023.

“Kedua, MFL komited untuk menamatkan kempen liga dengan perlawanan penuh (22 perlawanan) di mana kami tidak mahu mengambil risiko yang akan memberikan kesan kepada penajaan selain langkah mengurangkan perlawanan atau membatalkan kejohanan lain seperti Piala Malaysia atau Piala Cabaran terpaksa diambil jika kalendar Liga Malaysia bermula lebih lambat.

“Selain faktor cuti perayaan umum, tarikh-tarikh kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 April 2021 sehingga 7 Mei 2021 dan Kejohanan AFC secara berpusat yang melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pada 22 Jun 2021 sehingga 28 Jun 2021 turut diambil kira. Jadi, adalah sukar untuk MFL menunda lagi tarikh sepak mula Liga Malaysia 2021 kerana ia jelas akan menjejaskan perjalanan kalendar pertandingan musim ini.

“Apa yang mustahak, keputusan ini dicapai selepas mendapat persetujuan daripada setiap wakil kelab dan di pihak MFL, kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan perjalanan kalendar Liga Malaysia berjalan dengan lancar terutama ketika berlangsung dalam pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani mendedahkan MFL dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberikan penerangan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan ‘camp quarantine’ dan ‘home quarantine’ yang telah ditetapkan kepada setiap wakil pasukan.

Selaras dengan tuntutan pihak kerajaan yang mahu memastikan sebarang aktiviti sukan bebas daripada wabak COVID-19, Ab Ghani optimis setiap kelab dapat melaksanakan SOP itu dengan baik selepas mendapat penjelasan terperinci daripada Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, sendiri dalam mesyuarat tersebut.

“Pasukan telah diterangkan lebih terperinci berkenaan program latihan berpusat bermula Isnin ini iaitu 15 Februari 2021 di mana tempat latihan dan pergerakan pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan di mana penginapan pemain perlu mengikut SOP sama ada ‘camp quarantine’ atau ‘home quarantine’.

“Mekanisme ‘camp quarantine’ adalah menempatkan pemain dan pegawai dalam satu tempat sepenuh masa dan menjalani ujian calitan di venue berkenaan sementara ‘home quarantine’ pula menumpukan pemain serta seluruh isi keluarga wajib menjalani ujian calitan selain SOP lebih ketat termasuk larangan orang luar menziarahi mereka sepanjang tempoh kuarantin.

“Datuk Shapawi telah memberikan penjelasan cukup terperinci kepada setiap wakil pasukan dan saya percaya pasukan-pasukan tidak akan berdepan masalah untuk mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Dalam masa sama, saya ingin mengingati kepada kesemua pasukan agar menjalani ujian calitan sebelum memulakan program latihan berpusat pada 15 Februari 2021. Hanya pemain dan pegawai yang mendapat keputusan negatif dalam ujian calitan dibenarkan turun berlatih,” ujarnya.

Sumber : Stadium astro

https://www.facebook.com/malaysianfootballleague/posts/4994139830658482