Pengakuan Aidil Ini Menyebabkan Peminat Kedah Risau

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui terpaksa mengurangkan perbelanjaan hariannya, selepas majikannya masih belum melangsaikan tunggakan gaji sejak bulan Februari lalu.

Malah, beliau hanya membeli nasi lemak bungkus bernilai RM1 untuk hidangan makan malam.

“Saya malu hendak beritahu hal ini, kerana ramai yang mungkin akan menyangka saya berada dalam situasi tidak menentu,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya makan nasi lemak RM1 pun okay demi pasukan. Ada beberapa kali saya akan singgah mendapatkan juadah nasi lemak panas di sekitar pasar borong di Alor Setar yang kosnya RM1 dan ini menjimatkan kos perbelanjaan saya, lagi pun ia sedap kerana menjadi kegemaran kebanyakan orang tempatan.

“Itulah hakikat cara saya berjimat cermat kini selepas isu gaji yang tersangkut berlaku hampir lima bulan lalu.

“Sepanjang isu gaji ini, yang paling penting saya mahu pastikan moral pemain saya bertahan dan ada juga kes di mana saya terpaksa hulurkan pinjaman sementara buat mereka bagi memastikan dapat datang ke tempat latihan.”

Aidil juga mengakui tunggakan gaji itu memberi kesan kepada perbelanjaan diri dan keluarganya.

Beliau bagaimanapun terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat serta rakan seperjuangannya.

“Saya terharu dengan sokongan daripada ramai penyokong Kedah yang sentiasa memberi kata-kata semangat untuk saya dan pasukan setiap hari tanpa jemu.

“Bila mesej itu dibaca, hati saya saya tersentuh, kerana pasukan Kedah ternyata memiliki peminat yang sangat prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu bukan sahaja buat saya dan pasukan di padang, malah juga di luar padang di saat pasukan menghadapi dugaan dan cabaran.

“Selain sokongan daripada jurulatih tempatan, jurulatih yang saya anggap sebagai ‘bapa’ dalam kerjaya saya iaitu Robert Albert turut menyampaikan pesanan motivasi agar saya terus bertabah dan meneruskan semangat juang bersama pasukan Kedah.”

SUmber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/07/30/jurulatih-kedah-akui-terpaksa-ikat-perut/