KJ Sedia Bincang

SLIM RIVER: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedia berbincang berhubung hasrat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu bertanding di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Perkara ini boleh kita bincangkan sebab Tok Mat (Mohamad) dan saya dari bahagian yang sama. Beliau adalah ketua bahagian dan saya timbalannya.

“Biarlah kita bincangkannya secara adik beradik dalam konteks UMNO Rembau dan dalam perbincangan itu, bolehlah kita buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mesra bersama calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz di FELDA Besout 2 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU-15.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Sri Kota di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengulas mengenai calon BN pada PRK DUN Slim, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menyifatkan Mohd Zaidi seorang anak tempatan yang mampu membawa aspirasi rakyat.

“Calon BN adalah anak tempatan. Saya kenal dah lama sebab beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika saya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Beliau seorang yang sangat bekerja keras dan mempunyai banyak idea ketika menjadi Timbalan Presiden MBM. Saya percaya, beliau akan dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat DUN Slim,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/08/721842/kj-sedia-bincang-isu-kerusi-parlimen-rembau