Komen Padu Oleh Lagenda MU

Gary Neville pernah mengatakan bahawa David Luiz bermain seperti dia ‘mengawal permainan dalam PlayStation ketika berusia 10 tahun’.

Hampir sembilan tahun berlalu sejak bekas pemain pertahanan Manchester United itu membuat komen berkenaan secara langsung di Sky Sports, namun kata-katanya itu tampak kembali diingati.

Ia susulan pemain Brazil itu menunjukkan persembahan ‘ngeri’ terbarunya hanya dalam 25 minit beraksi selepas dimasukkan sebagai pemain gantian yang menyaksikan Arsenal dimalukan Manchester City, Khamis lalu.

Dia melakukan kesilapan individu yang menyebabkan gawang pasukannya dibolosi pada babak pertama.

Tidak cukup dengan itu, bekas pemain Chelsea itu turut menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan selepas menjatuhkan Riyad Mahrez selain dia turut dilayangkan kad merah.

Namun, kesilapan memalukan itu bukan pertama kali dilakukannya, sebaliknya pemain berusia 33 tahun pernah beberapa kali berbuat demikian sepanjang kariernya bersama Brazil, PSG, Chelsea dan Arsenal.

Antara yang diingati pada 2014 ketika Brazil mengalami kekalahan mengaibkan di Piala Dunia apabila tewas 1-7 kepada Jerman dengan Luiz bertindak sebagai ketua pasukan ketika itu selepas Thiago Silva tidak dapat beraksi.

Pada 2015, PSG menjadikan Luiz sebagai pertahanan termahal selepas membayar Chelsea £50 juta (RM263 juta) dengan harapan dapat memperkuatkan lagi skuad itu.

Namun, Luiz berdepan detik memalukan apabila dua kali digelecek Luiz Suarez dengan kedua-duanya berjaya menyumbang gol buat Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI