Lagenda JDT Mahu “Taw4n” Perut Penyokong

KUALA LUMPUR: Selepas memukau penyokong bola sepak dengan sepakan percuma menarik, kini pemain tengah Melaka United (MU), Safiq Rahim cuba ‘menawan’ perut penyokong pula.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu kini membuka ‘dapurnya’ ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenali sebagai @terer8kitchen yang menampilkan beberapa menu seperti bahulu kemboja, sambal bilis, nasi ambeng dan rendang daging.

Paling menarik sudah pastinya nasi ambeng apabila hidangan masyarakat Jawa itu berada dalam senarai kemaskini laman Instagram bekas kapten pasukan kebangsaan itu.

Menerusi kemaskini di laman Instagram @srsafiq, pemain itu berkongsi keterujaannya dengan hidangan terbabit yang turut disertakan lauk ayam masak merah, masak kicap dan juga ayam goreng.

Malah Safiq menjelaskan, penyokong juga boleh mendapatkan hidangan nasi ambeng dengan menggunakan khidmat penghantaran dan dia tidak menolak kemungkinan makanan terbabit akan turut ‘dipasarkan’ ke Kuala Lumpur selepas ini.

Dalam masa sama, Safiq turut berkongsi ‘kemahiran’ menyediakan nasi ambeng menerusi satu klip video juga di laman Instagramnya.

Video pendek terbabit memaparkan Safiq mengisi nasi putih ke dalam bekas kecil sebelum menekupnya ke dalam bekas plastik lutsinar yang dipercayai untuk hidangan nasi ambeng.

Sumber : BH