Lagi Pemain Import Bakal Barisi Skuad Penyu

Kuala Terengganu: Bintang import kelahiran Kyoto, Jepun, Masaki Watanabe hampir pasti menyarung jersi pasukan Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Kelibat bekas pemain Perlis, FELDA United dan Kelantan itu sudah berada di Terengganu dan kini hanya menunggu masa untuk diperkenalkan secara rasmi sebagai import skuad The Turtles itu.

Malah pemain itu juga sudah turun padang menjalani ujian bersama pasukan bagi mengekalkan kecergasannya selain pihak pengurusan dapat menilai secara lebih dekat corak permainannya.

“Watanabe sudah menjalani latihan bersama pasukan TFC II sejak dua hari lalu, namun sama ada pemain itu akan disenaraikan dalam skuad itu atau sebaliknya bakal diketahui tidak lama lagi kerana barisan jurulatih perlu menilai pelbagai sudut termasuk faktor kecederaan.

“Tapi saya jangkakan pemain berketinggian 1.81 meter itu bakal menjadi milik pasukan TFC II musim depan lebih-lebih lagi pemain itu mampu beraksi di jentera tengah dan pertahanan.

“Kehadiran Watanabe sudah pasti bakal memberi impak besar kepada pasukan yang menjadi ‘feeder club’ kepada pasukan Terengganu FC (TFC),” jelas sumber itu kepada Sukan NSTP semalam.

Mengulas lanjut, menurut sumber pemain berusia 34 tahun itu bakal mengisi kuota import Asia kerana musim depan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd hanya menyenaraikan tiga bintang import berbanding empat sebelum ini.

Sebelum ini TFC II yang dibimbing jurulatih baharu, Badrul Afzan Razali dan penolongnya, Subri Sulong mengekalkan dua tonggak import musim ini iaitu pertahanan kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dan penyerang dari Ghana, Jordan Mintah.

Manakala dua lagi pemain importnya iaitu kapten, Bruno Suzuki dan pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel tidak disambung kontrak musim depan.

Musim ini TFC II yang dibimbing Roshadi Wahab dan pembantunya, Sapian Wahid berjaya membawa pasukan The Turtles itu muncul naib juara Liga Perdana, namun impian untuk merampas semula kejuaraan Piala Cabaran berkecai kerana trofi itu dibatalkan berikutan kebimbangan wabak pandemik Covid-19.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/656942/watanabe-hampir-pasti-sertai-tfc-ii