Lagi pemain muda ikut jejak Luqman Hakim

KUANTAN: Dua pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di sini, kini sedia mengikut jejak pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin untuk mencuba nasib bermain bola sepak secara profesional di Eropah.

Ini selepas Haykal Danish dan Rohisham Haikal, masing-masing berusia 17 tahun, berjaya menarik perhatian kelab Luxembourg, Racing FC untuk menyertai mereka. Mengikut perancangan, dua pemain muda itu dijangka berangkat ke negara berkenaan pada Disember ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Haykal dan Rohisham dipilih menghadiri sesi percubaan dengan kelab yang berpangkalan di selatan Luxembourg itu pada 2 hingga 19 Jun lalu.

“Mereka bersama seorang lagi pemain AMD, Muhammad Abu Khalil menjalani sesi percubaan dengan kelab divisyen dua Perancis, FC Annecy dan Racing FC. Kelab itu menyatakan minat kepada AMD baru-baru ini untuk menandatangani Haykal dan Rohisham .

“Mereka akan menjadi pemain AMD kedua dan ketiga beraksi di Eropah selepas Luqman yang berada di Belgium. Kedua-dua pemain itu kini berlatih bersama pasukan kebangsaan bagi membuat persiapan menghadapi Kejohanan AFC Bawah 19 Tahun,” katanya selepas melawat AMD di Gambang di sini hari ini.

Sumber : BH

Lian Ker berkata, perkembangan terbaharu itu sebagai berita positif untuk bola sepak di negara ini. “Ini kerana pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu menjejaskan usaha menghantar pemain AMD ke luar negara,” katanya.