Lagi Ubi Malaysia Bakal Beraksi di Jepun

KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk menyaksikan Hadi Fayyadh Abdul Razak mempunyai ‘rakan’ di Jepun kini me­nyala apabila Cerezo Osaka sedia membuka pintu kepada Anas Nadawi Shahruddin untuk menyertai kelab divisyen pertama Jepun itu suatu hari nanti.

Anas, 16, yang kini bersama abangnya Amar Makruf, 18, di Valencia mengikuti sesi latihan bersama akademi The Next Generation Sports (TNGS), pernah menjejakkan kaki ke laman keramat Cerezo di Osaka, Jepun tahun lalu selepas terpilih menyerai Projek Impian ASEAN (ADP) anjuran Yakult.

Mendengar perkhabaran tersebut, Presiden Cerezo, Hiroaki Morishima melahirkan rasa teruja terhadap perkembangan terbaharu Anas dan berhasrat untuk mendapatkannya.

“Tahniah. Kami di Jepun teruja mengikuti perkembangan Anas. Kami turut menantikan kehadiran Anas di Liga Jepun (Liga J) dan bermain untuk pasukan Cerezo Osaka suatu hari nanti.

“Teruskan usaha dan selamat maju jaya,” katanya menerusi Twitter yang dikongsikan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada baru-baru ini.

Minuman probiotik terkemuka dari Jepun, Yakult merupakan ‘individu’ terpenting dalam membawa Hadi Fayyadh, 20, menyertai kelab divisyen kedua Jepun, Fagiano Okayama pada 2019.

Sementara itu, Hamada mendedahkan, beliau mulai tertarik dengan keperibadian Anas yang tidak mudah menyerah kalah sejak menghadiri sesi pemilihan ADP di Nilai tahun lalu.

“Pada awalnya dia tidak tersenarai dalam pemilihan tersebut kerana lewat mendaftar, tetapi dia tetap hadir di padang dan setia menunggu kekosongan yang ada.

“Bagaimanapun, kesabarannya berbayar apabila dibenarkan menyertai sesi itu selepas terdapat peserta menarik diri.

“Saya melihat sikap tidak berputus asa dia dari situ. Kami mendoakan yang terbaik untuk dia di Valencia,” ujarnya.

Sumber- https://www.utusan.com.my/sukan/2020/12/48849/