Lang Merah Bakal Jadi Kenangan

ALOR SETAR: Pasukan bola sepak Kedah akan menggunakan nama Darul Aman FC (DFC) musim depan setelah berjaya melengkapkan proses penswastaan kelab baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penggunaan nama itu sekali gus mengelakkan daripada penggunaan akronim KFC yang cukup sinonim dengan jenama restoran makanan segera terkenal.

“Jika letak nama Kedah Football Club, akan jadi KFC. Nak elak jadi ‘ayam goreng’, maka kita namakan Darul Aman Football Club.

“Logo pasukan juga berubah di mana tiada lagi lambang helang mahu pun lain-lain haiwan. Justeru, pasukan ini tidak lagi akan dikenali sebagai Lang Merah musim depan,” katanya di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, beliau turut menunjukkan logo yang dipilihnya sendiri dan telah didaftar untuk menjadi identiti pasukan berkenaan.

Logo berbentuk perisai itu mempunyai beberapa warna antaranya merah, kuning dan hijau serta memaparkan lima bintang, sebiji bola dan bunga padi yang menjadi ikon negeri.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/09/kedah-tak-mahu-jadi-ayam-goreng-kfc/