Langkah Naik Taraf Fasiliti TFC Harus Dicontohi

Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) kini dalam proses untuk naik taraf fasiliti pusat latihan dengan menggunakan konsep rumah kontena yang lebih menjimatkan kos sesuai dengan kemampuan kewangan mereka.

Struktur fasiliti yang dibina akan menempatkan beberapa ruangan khas buat pasukan bagi kegunaan sebelum dan selepas latihan.

Ianya termasuklah bilik perbincangan buat barisan kejurulatihan, bilik barisan teknikal pasukan, ruang rakaman, bilik persalinan pemain, bilik penempatan barangan latihan, serta tandas pasukan.

Binaan kontena menjadi pilihan alternatif bagi pasukan yang tidak mampu membeli atau membina sebuah bangunan kekal kerana ia menggunakan bahan binaan yang kukuh serta direka untuk tahan lasak sesuai dengan pelbagai keadaan cuaca.

Penggunaan kontena sebagai bahan utama untuk membina bangunan juga mampu menjimatkan kos dan masa lebih 30 peratus daripada bangunan biasa kerana tidak memerlukan kerja menanam cerucuk bangunan.

Selain itu, ia turut dibina bersebelahan padang latihan tanpa perlu merosakkan alam semulajadi seperti menebang pokok, mengorek tanah dan sebagainya. Malah, konsep binaan kontena juga merupakan satu cara mesra alam kerana menggunakan semula besi keluli yang terpakai.

Lazimnya kita sering lihat kontena terpakai ini hanya digunakan untuk pejabat sementara di tapak-tapak pembinaan, sedangkan sebenarnya ia boleh digunakan untuk membina penginapan rasmi sebuah pasukan bola sepak.

Di luar negara seperti England, Jerman dan Belanda, binaan bangunan dengan menggunakan kontena bukanlah suatu perkara asing, malah mereka membina bangunan sehingga setinggi 12 tingkat.

Sebagai contoh, kelab bola Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton FC turut menggunakan kontena sebagai pusat perubatan, kantin pemain, tempat persalinan pemain serta pejabat barisan jurulatih yang terletak berselahan padang latihan.

Fasiliti latihan yang terdapat di Terengganu FC juga dijangka akan mencetus satu pembaharuan dan alternatif untuk semua pasukan Liga Malaysia selain mampu mengurangkan pencemaran.

Pusat latihan ini merupakan perkara yang amat penting bagi sesebuah pasukan bola sepak kerana ia adalah tempat dimana para pemain dan jurulatih melakukan kerja mereka.

Sumber : https://www.vocketfc.com/konsep-binaan-kontena-jadi-pilihan-terengganu-fc-naik-taraf-fasiliti-pusat-latihan/