Langkah TFC Harus Dicontohi

Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn. Bhd, Ab Rasid Jusoh mensasarkan menjelang 2027, TFC tidak mahu lagi bergantung kepada bantuan dana kerajaan negeri bagi menguruskan pasukan bola sepak.

Beliau berkata, visi TFC Sdn Bhd itu diyakini tercapai kerana semua perancangan dan strategi sudah dan sedang diatur dengan mengambil kira garis panduan daripada sudut komersial bagi memastikan hasrat itu terlaksana terutama berkaitan untuk menjana kewangan syarikat.

“Kita akui pada masa ini sebahagian besar tajaan serta peruntukan untuk menguruskan pasukan bola sepak negeri hasil daripada dana kerajaan negeri.

“Lagipun TFC Sdn Bhd adalah syarikat yang baharu beroperasi sepenuhnya beberapa bulan lalu dan tidak mungkin sudah ada kewangan sendiri untuk menguruskan pasukan.

“Tapi kita tidak berdiam diri sebaliknya sudah ada pelan jangka pendek dan panjang bagaimana untuk membawa masuk pendapatan ke dalam syarikat, ini kita sudah dan sedang usahakan bagi memastikan matlamat itu tercapai sekali gus kerajaan negeri tidak perlu lagi suntik dana kepada pasukan bola sepak menjelang 2027, ” katanya di Kuala Terengganu kelmarin.

Sebelum ini pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dengan lantang menyelar proses penswastaan yang sedang berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini bukanlah konsep sebenar apabila kebanyakan pasukan masih mengharapkan ihsan kerajaan negeri.

Beliau berkata, segelintir pasukan dilihat masih mengamalkan corak pengurusan ‘kuno’ dengan selesa menunggu bantuan tanpa bergerak sendiri seperti model sebenar penswastaan.

Mengulas lanjut, Ab Rasid menjelaskan antara perancangan terkini adalah untuk menjadikan

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai tarikan pelancongan sebagaimana kelab di luar negara sekali gus mampu menjana pendapatan.

“Kita akan wujudkan galeri di stadium yang akan menempatkan pelbagai koleksi simpanan bekas-bekas pemain negeri serta trofi kejuaraan yang pernah dimenangi pasukan untuk menarik perhatian peminat.

“Menerusi ‘stadium tour’ pula, peminat dan pengunjung boleh merasai pengalaman dengan lebih dekat apa yang dilalui pemain seperti menaiki bas dan masuk ke bilik persalinan selain bergambar dengan pemain kegemaran mereka, ini yang kita rancang, kita meletakkan harapan yang tinggi segala perancangan itu tercapai dan dapat direalisasikan,” katanya.

Berdasarkan rekod, pada 2018 kerajaan negeri menyalurkan sumbangan dana sebanyak RM13.5 juta kepada pasukan bola sepak negeri manakala pada tahun lalu sumbangan meningkat kepada RM23.9 juta, namun musim ini langkah penjimatan sebanyak 20 peratus daripada jumlah berkenaan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/12/649336/bebas-dana-kerajaan-menjelang-2027-tfc