Liga Petani?

Liga Malaysia pernah dipanggil dengan pelbagai jenis gelaran, namun adakah liga ini layak digelar sebagai Liga Petani?

Liga Petani atau dalam bahasa Inggeris iaitu ‘Farmers League’ ditujukan oleh segelintir peminat bolasepak yang menganggap sesebuah liga itu sebagai liga yang tidak kompetitif.

Biasanya alasan yang diberikan terhadap sebuah liga tidak kompetitif itu adalah disebabkan liga itu didominasi oleh satu pasukan dalam tempoh yang panjang.

Liga di Eropah yang biasanya dipanggil sebagai Liga Petani adalah Ligue 1 kerana didominasi oleh Paris Saint-Germain (PSG).

Sejak diambil alih oleh raja Qatar, Tamim Hamad Al-Thani melalui Qatar Sports Investments pada 2011, PSG memenangi pelbagai jenis piala dan memenangi liga tujuh kali dalam lapan musim.

Selepas lama menanti, PSG akhirnya layak ke separuh akhir UEFA Champions League, satu pencapaian besar buat kelab gergasi Perancis itu.

Kalau begitu, adakah logik yang sama boleh digunakan kepada Liga Super?

Sejak 2014, JDT sudah memenangi pelbagai jenis piala.

Ini termasuk menjadi juara enam kali berturut-turut serta memenangi salah satu piala berprestij di Asia, iaitu Piala AFC pada 2015.

Namun, dominasi JDT sebenarnya memberikan imp4k positif serta banyak membantu menaikkan standard bolasepak Malaysia.

Malah, prestasi JDT dalam Piala AFC membantu ranking Liga Super sehingga akhirnya layak beraksi dalam AFC Champions League.

Apabila dapat beraksi dalam AFC Champions League, ia sekali gus memberi peluang kepada para pemain Malaysia untuk beraksi dalam standard bolasepak yang lebih tinggi.

Pemain JDT seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba bukan sahaja mendapat pendedahan bolasepak di peringkat Asia, malah ia secara tidak langsung meningkatkan prestasi mereka dan beraksi dengan lebih baik bersama skuad kebangsaan.

Jadi, adakah Liga Malaysia yang didominasi JDT yang banyak membantu menaikkan standard liga masih wajar dipanggil Liga Petani?

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/08/17/liga-malaysia-liga-petani/