Liverpool Tewas Mengejut

Liverpool: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa mereka tidak boleh mengeluh selepas melepaskan peluang untuk menempah tempat ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara lebih awal apabila tewas di tangan Atalanta 0-2 di Anfield awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp mampu untuk mengesahkan tempat dari Kumpulan D sekiranya melakarkan kemenangan namun persembahan buruk yang dipamerkan menyebabkan mereka dihukum kelab Itali itu.

Dua gol dalam tempoh empat minit dari Josip Ilicic dan Robin Gosens pada separuh masa kedua membolehkan Atalanta melakarkan kemenangan yang tidak akan dilupakan sekali gus menamatkan rekod 100 peratus Liverpool dalam kejuaraan tahun ini.

Liverpool sebelum ini mudah membelasah Atalanta 5-0 di Itali pada November lalu, melakarkan tiga kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan.

Namun ia adalah kali pertama sejak Virgil van Dijk mengalami kecederaan lutut yang serius di Everton pada Oktober lalu dengan skuad The Reds itu kini kelihatan resah dalam kekalahan yang jarang berlaku Anfield.

Biarpun tewas kali pertama dalam sembilan saingan sejak Van Dijk diketepikan, skuad Klopp masih mendahului kumpulan Liga Juara-Juara.

“Kekalahan adalah wajar dalam permainan yang sukar. Pengadil tidak banyak meniup wisel dan ia menjadikan lebih sukar untuk kedua-dua pasukan. Ia satu yang sukar dan anda memerlukan rehat,” kata Klopp.

“Apabila babak pertama tamat anda biasanya berpuas hati tapi beberapa pemain tidak dapat bermain dan ia memberi tekanan kepada mereka. Kami tidak menemui jalan dalam permainan itu.”

Liverpool akan menanti kunjungan Ajax minggu depan sebelum perlawanan terakhir menentang FC Midtjylland

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/646105/liverpool-tewas-di-anfield