Luah Rasa Gembira Mendapat Berita Itu

ALOR SETAR: Kehadiran legenda penjaga gawang negara, Khairul Azman Mohamed diharap dapat membantu menjadikan penjaga gol Kedah lebih tangkas dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilantik menjadi jurulatih penjaga gol skuad Lang Merah bagi menggantikan Mohd Effendy Kamsah dan sudah mula menjalankan tugas, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Khamal Idris Ali, berkata skuad Kedah kini lebih fokus melakukan penambahbaikan dalam membentuk pasukan yang mantap di semua posisi.

“Selamat datang legenda penjaga gol Khairul Azman ke Kedah. Kemasukan beliau satu strategi terbaru kerana kita mahu melakukan penambahbaikan dari semua aspek, termasuk kejurulatihan pada musim depan berbanding musim sebelum ini.

“Berdasarkan pengalamannya, saya rasa kita akan dapat mendapat manfaat dalam memperkukuhkan pasukan terutama di benteng terakhir,” katanya.

Khamal juga meluahkan rasa syukur kerana usaha membawa legenda itu Kedah berjaya dilakukan mengikut perancangan.

“Kita bersyukur kerana dia juga rasa gembira apabila kita melahirkan hasrat membawanya ke dalam pasukan Kedah, tambahan pula saya sendiri mengenalinya secara dekat kerana saya juga bekas pemain bola sepak.” katanya.

Khairul Azman yang juga bekas penjaga gol kebangsaan dengan 59 penampilan, memiliki rekod cemerlang sebagai penjaga gol Pahang dari 1985 hingga 1995 sebelum menyertai Sabah hingga 2005.

Antara pencapaiannya membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia 1992 sementara bersama Sabah pula, beliau membantu skuad itu muncul juara Piala FA pada 1995, juara Liga Perdana 1996 dan pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Malaysia ketika itu.

Sebagai jurulatih, beliau menyertai JDT pada 2013 sebelum meninggalkan pasukan gergasi itu pertengahan musim ini dan menjadi individu penting dalam membimbing Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan K Sasi Kumar.

Sumber : BH