Luahan Chong Yee Fat mengenai pemain angkat kaki

Kehilangan dua pemain import, Leandro dos Santos dan Careca, yang telah membatalkan kontrak mereka untuk meninggalkan Perak FC ternyata mengejutkan para peminat setia pasukan itu.

Malah, ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt tidak mengetahui punca dua pemain tersebut meninggalkan pasukan dan menegaskan, mereka tetap akan berjuang habis-habisan untuk kekal dalam Liga Super.

Perkara itu terserlah dengan apa ditonjolkan melalui majoriti pemain muda selepas berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC (KL City) seri tanpa jaringan di Stadium Perak, Ipoh semalam bagi meraih satu mata berharga.

“Saya mengetahui mereka tidak ada lagi bersama pasukan semalam walaupun sebelum ini sudah dapat rasakan mereka akan meninggalkan pasukan sebelum pergi ke Terengganu.

“Apabila pulang dari Terengganu, saya dimaklumkan oleh pengurusan yang mereka telah menghantar surat tamatkan kontrak dan apa sebabnya, saya tidak tahu kenapa dan perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan.

“Sudah pasti situasi sekarang pasti akan membuatkan kami lagi tertekan tambahan pasukan sekarang ini berada di kedudukan bawahan liga dan saya kini seperti sudah tidak banyak pilihan pemain dalam pasukan.

“Namun, saya tetap berharap kami mampu kekal di Liga Super pada penghujung musim ini dan melihatkan dengan kerja keras serta komitmen yang ditunjukkan oleh pemain semasa berdepan KL City, pasukan masih berada di tahap moral terbaik untuk berikan saingan,” katanya kepada MFL.

Leandro merupakan antara pemain import paling lama berkhidmat bersama Perak apabila beraksi selama lima musim dari tahun 2017 serta pernah membantu pasukan muncul juara Piala Malaysia 2018 manakala Careca sejak musim 2019.

Keputusan seri itu dilihat satu peningkatan buat skuad The Bos Gaurus selepas dibelasah 0-5 di tangan Terengganu FC pada minggu lalu yang menyebabkan mereka terperosok di tangga kedua terakhir Liga Super.

Satu mata itu meletakkan mereka naik ke tangga ke-10 buat seketika mengatasi Melaka United FC yang akan beraksi menentang Terengganu di Stadium Hang Jebat, pada Rabu.

Mengenai keputusan dengan KL City, Yee Fatt, tidak menafikan terdapat banyak peningkatan dipamerkan oleh sebahagian besar pemain biarpun sedikit terkilan kerana gagal meraih tiga mata penuh.

“Komitmen yang ditunjukkan pemain amat memuaskan malah mereka tahu peranan masing-masing di atas padang, memang kami inginkan tiga mata tetapi kita perlu hormati Kuala Lumpur yang juga merupakan pasukan yang bagus.

“Sekurang-kurangnya satu mata hari ini tetap saya anggap satu peningkatan selepas melihat kerja keras yang ditunjukkan pemain dan saya masih yakin pasukan ini boleh menuju sesuatu yang cemerlang tidak lama lagi.

“Beberapa pemain import seperti Jad Noureddine akan kembali bersama pasukan pada minggu depan selain Samir Ayass namun untuk perlawanan ini, saya berpuas hati dengan apa ditunjukkan Sergio Aguero yang dapat membantu pasukan ekoran ramai pemain lain yang cedera,” katanya.

Sumber : vocketFC