Luqman Terpaksa Berehat

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga minggu akibat kecederaan hamstring.

Pemain berusia 18 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan itu ketika sesi latihan bersama kelabnya KV Kortrijk, Sabtu lalu.

Keadaan itu mencetuskan rasa kecewa Luqman yang kini bersemangat tinggi selepas membuat penampilan sulung di liga utama Belgium, Jupiler Pro League ketika menentang RSC Anderlecht minggu lalu.

“Doktor memberi tahu ada koyakan di paha dan menasihatkan saya untuk berehat dalam tiga minggu bagi memberi tumpuan kepada sesi pemulihan bersama pasukan.

“Sebenarnya kecederaan ini saya alami sehari selepas perlawanan dengan Anderlecht minggu lalu, tapi ketika itu saya fikir hanya kecederaan biasa.

“Saya harap pemulihan akan berjalan lancar dan dapat kembali segera bersama pasukan,” katanya.

Luqman kemungkinan terlepas sekurang-kurangnya tiga aksi Jupiler Pro menentang Zulte Waregem pada 3 November, Beerschot (7 November) dan Club Brugge (22 November).

Pemain kelahiran Kota Bharu itu membuat penampilan sulung di Jupiler Pro League selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubovic ketika KV Kortrijk tewas 3-1 di tangan Anderlecht.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/748653/luqman-hakim-terpaksa-rehat-3-minggu