Mahu Kukuhkan Kedudukan di Carta Liga

Kuala Terengganu: Pemain sayap kanan Terengganu FC (TFC), Faisal Abdul Halim tidak rela ‘berputih mata’ lagi sambil akui pasukannya berada pada prestasi terbaik untuk memburu kemenangan bertemu PJ City FC pada aksi keenam Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Jumaat ini.

Pemain berusia 23 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Mickey berkata, kepulangan semula ke pangkuan pasukannya selepas hampir dua minggu bersama kem pasukan kebangsaan menyuntik lagi motivasinya untuk beraksi lebih baik mengutip tiga mata selepas tewas 1-2 di tangan Sabah pada aksi kelima Liga Super sebelum ini.

Bagaimanapun pemain kelahiran Pulau Pinang yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama skuad Penyu sehingga 2022 akui bukan mudah untuk menjinakkan skuad ‘The Phoenix’ kendalian P Maniam itu.

“Saya kian bersemangat selepas pulang daripada menjalani sesi pemilihan bersama pasukan kebangsaan, saya harap dapat memberikan sesuatu yang bermakna buat pasukan Jumaat ini.

“Lagipun pasukan juga sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk bertarung dengan PJ City FC selepas hampir dua minggu tidak beraksi kerana tempoh rehat.

“Namun sebagaimana kita tahu, lawan adalah pasukan yang liat untuk ditewaskan berdasarkan lima perlawanan Liga Super setakat ini dengan mengumpul lapan mata.

“Apapun siapa yang bakal diturunkan jurulatih, mereka perlu memberikan aksi yang terbaik termasuk saya jika diberi peluang, kami harus menang perlawanan itu kerana selepas ini kami akan berdepan lawan yang lebih sukar termasuk Pahang dan Kedah di tempat lawan,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Daripada lima perlawanan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian, Pulau Pinang itu yang bakatnya dikesan selepas menyertai program realiti Mencari Ramli sudah membuka ‘akaun’ gol pertamanya musim ini ketika pasukannya melakar kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh pada aksi ketiga liga.

“Siapa yang menjaringkan gol tidak begitu penting, tapi yang lebih penting pasukan kami perlu merakam kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta liga kerana saingan kini kian sengit berdasarkan pungutan mata yang tidak jauh setiap pasukan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain itu berada di tangga kedua Liga Super dengan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 11 mata manakala TFC berkongsi 10 mata dengan Kedah.

Sumber : HM