Manchester United Terlepas

MANCHESTER: Manchester United terlepas tarikh akhir ditetapkan Borussia Dortmund untuk perpindahan penyerangnya Jadon Sancho, dengan pemain itu kini mengikuti kem latihan kelab Jerman berkenaan di Switzerland.

Hari ini adalah tarikh akhir untuk memuktamadkan perjanjian antara kedua-dua kelab, dengan Dortmund meletakkan harga 108 juta pound (RM591.4 juta) untuk United membeli Sancho.

Bagaimanapun United melihat nilai itu terlalu tinggi untuk pemain berusia 20 tahun, dan mereka memberikan syarat tersendiri tanpa mempedulikan tarikh akhir ditetapkan Dortmund.

Kempen baru liga akan bermula pada 18 September, dengan tarikh akhir untuk jendela perpindahan antarabangsa ialah pada 5 Oktober.

Sancho dilihat sebagai pilihan tepat untuk memperkuat United kendalian Ole Gunnar Solskjaer, di mana dia pernah beraksi dengan beberapa pemain senior Red Devils seperti Marcus Rashford, Harry Maguire dan Jesse Lingard dalam skuad England.

Pemain muda itu baru saja menamatkan musim cemerlang di Jerman, meledak 17 gol dan melakukan 17 umpanan gol dalam saingan liga.

Dia juga menjaringkan dua gol dan membantu dua lagi dalam saingan Liga Juara-Juara, dan dianggap antara taruhan utama England di Kejuaraan Eropah akan datang. – AGENSI

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/08/719764/man-united-terlepas-beli-sancho