MB Kedah dangkal tentang pengurusan bola sepak

Saat penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ingin menyambut ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula mengeluarkan kenyataan gaji pemain bola sepak yang terlalu tinggi menyebabkan ia membunuh industri bola sepak negara. Hakikatnya purata gaji pemain bola sepak negara hanyalah bayaran standard untuk status pemain bola sepak professional walau di negara mana sekalipun.

Kenyataan Muhammad Sanusi itu tersebut seolah-olah menyatakan gaji pemain terlampau besar sedangkan gaji pemain professional bola sepak negara luar jauh lebih mahal berbanding di negara ini. Dari mana datangnya fakta gaji pemain yang membunuh industri bola sepak? Mungkin Sanusi perlu belajar pengurusan bola sepak yang betul dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Johor. Saya pasti beliau mempunyai resipi bagaimana mempertingkatkan pengurusan bola sepak seiring dengan gaji pemain tanpa menimbulkan isu gaji pemain dalam industri bola sepak ini.

Alangkah dangkalnya kenyataan Muhammad Sanusi di saat Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Ab Ghani Hassanjuga turut menyelar cadangan menetapkan harga siling sebagai mekanisme untuk mengelakkan tunggakan gaji pemain kerana ia adalah perniagaan bersifat terbuka. Malah cadangan ini hanya akan membuatkan nilai Liga Malaysia jatuh di samping pandangan tidak baik daripada pihak luar.

Industri bola sepak negara dibunuh hanya kerana rasuah yang berleluasa dalam industri ini, kelemahan tadbir urus dalam pengurusan bola sepak dan sikap sesetengah ahli politik yang banyak berpolitik dalam persatuan sukan itu sendiri.

Saya tidak pasti adakah Menteri Besar Kedah yang kini memangku jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah tahu tentang selok-belok pengurusan bola sepak yang betul. Setakat ini, mana-mana ahli politik yang memegang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan gagal mengangkat sukan tersebut ke satu aras yang lebih tinggi malah meninggalkan persatuan sukan tersebut dengan pelbagai masalah seperti tunggakan gaji pemain dan sebagainya. Contoh terdekat Faizal Azumu, bekas Menteri Besar Perak yang meninggalkan Persatuan Bola Sepak Perak dengan pelbagai tunggakan gaji pemain tanpa menyelesaikan kemelut yang terjadi dalam persatuan sukan tersebut.

Benar, gaji pemain haruslah setimpal dengan kemampuan kelab dan pemain bola sepak tersebut namun hakikatnya ia bukanlah disebabkan faktor gaji pemain yang membunuh industri bola sepak negara. Tidak kisah dalam apa jua bidang yang diceburi, sumber pendapatan yang diterima perlulah dibalas dengan hasil kerja yang baik dan begitulah juga buat para pemain bola sepak tanah air di Liga Malaysia. Barulah orang tidak mempersoalkan apa yang telah kita nikmati selama ini.

Buat para majikan pula, jangan terlalu rakus dalam menawarkan sesuatu yang lumayan sehingga mengganggu ‘kantung’ pasukan atau kelab sekaligus menimbulkan masalah yang lebih rumit di kemudian hari buat para pemain itu sendiri.

Yuslaini Azmi