Melaka United Mangsa Belasahan JDT

MELAKA: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan status mereka selaku juara Liga Super apabila membelasah Melaka United 5-0 pada aksi terakhir di Stadium Hang Jebat malam ini.

Bagaimanapun, jaringan pembukaan skuad Harimau Selatan hanya hadir pada minit ke-69 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez selepas Fernando Rodriguez dijatuhkan pertahanan Melaka United.

Lima minit berselang, kealpaan benteng skuad Hang Tuah dihukum penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang mudah menguis masuk bola ke gawang lawan pada minit ke-74 selepas dia berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Aidil Zafuan turut mencatat nama selaku penjaring apabila tandukan padunya pada minit ke-78 berjaya menewaskan Norazlan Razali untuk meletakkan JDT dihadapan dengan jaringan 3-0.

Pada minit ke-84, Rodriguez terus menggembirakan kem pelawat selepas hantaran lintang Matthew Davies disempurnakan dengan baik menerusi tandukan.

Pada penghujung perlawanan, Leandro melengkapkan malam gemilang JDT apabila sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi menutup aksi tersebut dengan jaringan 5-0.

Sumber : https://www.utusan.com.my/sukan/2020/10/jdt-belasah-melaka-united/