Mulianya Hati Azmeer Yusuf

ALOR SETAR: Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof berhasrat mewujudkan sebuah pusat pengajian Islam yang bakal diberi nama Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Kedah.

Hasrat berkenaan diluahkan dalam laman Facebook miliknya ketika melahirkan ucapan kesyukuran selepas urusan pembelian sebidang tanah di Alor Setar yang dikatakan hampir selesai.

“Alhamdulillah pembelian tanah saya di Tongkang Yard, Alor Setar hampir selesai dan Insya-Allah di tanah tersebut akan saya bangunkan sebuah pusat yang akan diberi nama Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof.

“Di situ nanti akan saya tempatkan guru-guru Quran lelaki dan perempuan, guru-guru hadis, tempat pembelajaran dan kuliah agama Islam dan sebagainya, Insya-Allah.

“Doakan segala niat saya dipermudahkan Allah dan saya berharap semua pihak akan menyokong pusat pengajian yang akan dibina ini,” kata Azmeer.

Dalam ruangan Facebook berkenaan juga Azmeer menyertakan beberapa gambar contoh reka bentuk grafik pusat pengajian yang sedang dalam perancangan pembangunannya.