Nasib Pemain Bola Sepak Wanita

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita seorang anak gadis berusia 15 tahun menjadi atlet bola sepak wanita pertama mewakili kelab dari Jerman iaitu Bayern Munich FC kategori U-17. Celine Chuang dikatakan bermula penglibatannya dalam sukan bola sepak semenjak berusia 11 tahun melalui Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB) Pulau Pinang.

Setelah itu, Celine dikatakan mula berhijrah ke Thailand dan mengikuti teknik bola sepak secara mendalam di Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) di Phuket Thailand di bawah kendalian jurulatihnya Cruzeiro selama dua tahun.

Secara jujurnya apabila dilihat perjalanan karier bola sepak Celine, saya melihat jika seseorang atlet itu ingin berjaya, mereka perlu belajar teknikal bola sepak yang lebih mendalam di negara orang berbanding di negara sendiri. Ini menggambarkan sedikit sebanyak tentang realiti ekosistem sukan bola sepak negara yang lemah menyebabkan atlet memilih negara lain untuk mengasah bakat mereka.

Saya tidak terkejut jika Celine memilih sekolah di negara luar bagi mempelajari metodologi bola sepak secara mendalam kerana FAM sendiri tidak memberi tumpuan penuh pada atlet bola sepak wanita. Kita sering mendengar pelbagai kejohanan bola sepak melibatkan pemain bola sepak lelaki dari Liga Perdana, Liga Super, Liga Malaysia dan pelbagai kejohanan lagi namun apabila ia membabitkan bola sepak wanita sepertinya tiada apa-apa yang menarik untuk diikuti malah lensa kamera wartawan sukan juga lebih tertumpu pada atlet lelaki berbanding atlet wanita.

Saya pernah menyuarakan isu ini di beberapa laman akhbar seperti FMT dan Semuanya Bola tentang diskriminasi gender dalam sukan yang sangat jelas terjadi dalam arena sukan tanah air kita. Seharusnya FAM menjadikan kes Celine Chuang untuk mengkaji program akar umbi yang perlu dilaksanakan supaya lebih ramai atlet wanita dapat dilahirkan bagi membentuk skuad yang mantap pada masa akan datang.

Adakah FAM berasa bangga apabila seorang pemain muda wanita terpaksa membawa diri ke luar negara demi mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional?

Kementarian Belia dan Sukan (KBS) juga perlu meneliti dan merangka program jangka panjang buat sukan wanita yang sering dipinggirkan semenjak dahulu lagi. Sedangkan kita semua tahu bahawa terdapat peruntukan yang diberi fokus pada atlet wanita. ungkin sudah masanya, KBS merealisasikan Universiti Sukan bagi menggerakkan industri sukan negara secara mampan.

Yuslaini Azmi

Aktivis politik Terengganu