Nasihat kepada Alistair Edwards

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendakwa masih berhak menuntut pampasan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan perpindahan kontroversi bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke kelab itu pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron, berkata pampasan itu adalah bagi kos latihan dan pembangunan pemain itu seperti ditetapkan melalui Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Saya ambil maklum berkenaan satu hantaran media sosial di Johor Southern Tigers yang dikeluarkan Pengarah Teknikal JDT FC, Alistair Edwards bertarikh 19 November 2021.

“Untuk makluman Alistair, beberapa isu perlu dipertimbangkan melalui kesemua kronologi berkaitan kes KFA dan Akhyar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan kes KFA dan JDT di Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Walaupun pertikaian di antara KFA dan Akhyar berhubung kontrak pemain telah diputuskan dan selesai antara kedua-dua pihak, KFA masih lagi berhak menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar dari JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli menegaskan, bahawa kenyataan Alistair berkenaan KFA tidak berhak mendapat pampasan bagi kos latihan dan pembangunan bekas pemainnya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Ini memandangkan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan bersesuaian daripada JDT yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Setiap tindakan yang diambil KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman dan KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

“Saya menasihati Alistair supaya menyemak semula segala fail serta memahami setiap keputusan berkaitan kes tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh Presiden KFA membuat tuduhan tidak berasas terhadap JDT,” katanya.

Khamis lalu, Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Md Noor mendakwa JDT belum menjelaskan pampasan yang sepatutnya dibayar kepada KFA berhubung perpindahan kontroversi Akhyar ke kelab berkenaan pada 2018.

Berikutan itu, Alistair dalam kenyataan balasnya memaklumkan JDT bersetuju membayar RM100,000 sebagai yuran pembangunan, namun cek bertarikh 31 Disember 2018 itu, dipulangkan Kedah yang mahu membuat rayuan kepada AIAC.

Sumber : BH