Orang Baru Pahang FA

Lee Tuck dilaporkan sudah bersetuju untuk menyertai Pahang untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Ini bermakna, beliau menjadi pemain import kedua yang menyertai Pahang selepas Ezequiel Aguero.

Perkara itu disahkan oleh pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang.

“Selepas mengadakan perbincangan, Aguero dan Tuck bersetuju menyarung jersi skuad Pahang,” katanya kepada Harian Metro.

“Dua import ini akan memperkasakan pasukan yang turut dibarisi dua lagi import baharu.

“Bagi musim depan, hanya Herold Goulon kekal bersama Pahang dan dua lagi kuota akan diisi pemain dari Asia dan Asia Tenggara.”

Suffian juga mendedahkan Pahang berkemungkinan akan mengambil import dari Palestin, Korea Selatan, Australia atau Singapura yang bermain posisi serangan dan pertahanan.

“Oleh itu kita harap dapat menyenaraikan lima pemain import dalam tempoh terdekat.”

Bagi saingan musim 2020, Pahang membariskan Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos, Khalil Khamis dan Adam Reed dan Herold Goulon.

Namun, hanya Goulon yang dikekalkan untuk musim depan.

Suffian juga berkata pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada akan mengekalkan Dollah Saleh selaku jurulatih atau tidak.

“Jika kepimpinan Pahang selepas ini mahu mengekalkan jurulatih Dollah dan saya sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kami mahu mencari jurulatih baru, ia akan jadi tidak bagus,” katanya kepada Astro Arena.

“Tidak bagus untuk jurulatih Dollah dan pasukan ini.

“Kami mengambil risiko dan cabaran yang akan dihadapi, pada ketika pandemik COVID-19 ini masih belum ada noktahnya.

“Jika tanya saya mengenai jurulatih, saya tidak boleh memberikan sebarang pengesahan.”

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/11/27/lee-tuck-sah-sertai-pahang/