Padah | Laporan Polis Telah Dibuat

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada pagi semalam berhubung salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Darulaman Football Club Sdn Bhd yang tular di Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron berkata, salinan SSM yang dimuat naik oleh netizen menggunakan nama Dayang Fatimah itu dipercayai telah menggunakan maklumat tanpa kebenaran pihaknya sekali gus boleh menyebabkan kemudar@tan kepada pemilik data.

Menurutnya, salinan SSM tersebut mengandungi maklumat peribadinya seperti nombor kad pengenalan dan alamat kediaman bersama seorang lagi individu iaitu Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali.

“Kami dapati, salinan SSM Darulaman Football Club Sdn Bhd yang mengandungi butir peribadi kami telah dimuat naik ke dalam ruangan komen di Facebook Pak Kob Tiki Taka pada Sabtu lalu. Sebenarnya apa tujuan mendedahkan maklumat sulit seumpama itu di media sosial?

Tujuan saya membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil kepada semua terlibat dalam mendedahkan maklumat peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hadir sama seorang lagi Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din.

Zulkifli berkata, tindakan oleh netizen tersebut seolah-olah mensab0taj usaha yang sedang dijalankan oleh pengurusan KFA dalam menjenamakan semula pasukan bola sepak Kedah.

Sementara itu, Khamal Idris berkata, tindakan netizen itu boleh mendatangkan rasa tidak selamat kepadanya dan Zulkifli selepas maklumat peribadi mereka dipaparkan di media sosial.

Ini adalah maklumat sulit syarikat dan bagaimana boleh bocor. Malah terdapat juga butir-butir peribadi kami sebagai wakil daripada KFA di dalam syarikat tersebut yang tidak boleh didedahkan.

Apa yang dimahukan daripada pendedahan itu kerana yang rasa dianiaya adalah kami berdua sebagai penama di dalam SSM tersebut,katanya.

sumber:SH