Pahang Tiada Masalah

KUANTAN: Tiada tekanan dihadapi skuad Pahang apabila bertandang ke Stadium Darul Aman menentang Kedah pada pusingan pertama Piala Malaysia, Jumaat ini.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, skuadnya hanya memberi tumpuan terhadap perlawanan kalah mati itu terutama memastikan kemenangan berpihak kepada Pahang. “Segalanya berjalan lancar terutama mempertingkatkan persefahaman dalam kalangan pemain sepanjang sesi latihan sebaik diundi bertemu Kedah.

“Kami tiada masalah beraksi di Alor Setar dan mengharapkan semua pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk melangkah ke suku akhir piala berprestij itu.

“Cuma saya mengingatkan pemain untuk kekal fokus dan memanfaatkan segala peluang yang dimiliki untuk memberi tekanan kepada lawan,” katanya.

Dalam pada itu, Dollah mengesahkan pemain import dari Filipina, Adam Reed masih lagi belum pulih daripada kecederaan dan tidak dapat mengesahkan sama ada dapat bermain atau tidak.

Katanya, tahap kecergasan Dickson Nwakaeme yang juga kapten pasukan berada pada tahap 80 peratus.

“Namun, saya percaya Nwakaeme dapat disenaraikan untuk membantu menajamkan jentera serangan,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/750036/pahang-tak-gentar-beraksi-di-stadium-darul-aman