Pasukan Lain Jauh Ketinggalan – Safiq Rahim

Safiq Rahim menganggap pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi kualiti dan infrastruktur yang dimiliki bekas pasukannya, JDT.

Pemain berusia 33 tahun itu merupakan salah seorang pemain yang terlibat dengan permulaan revolusi bola sepak Johor apabila menyertai pasukan itu pada 2013.

Beliau beraksi di JDT selama lima musim dan memenangi 11 piala sepanjang berada di Johor Bahru, sebelum menyertai Melaka United pada 2019.

“Kita lihat apa yang telah dilakukan JDT sekarang,” katanya ketika tampil di rancangan Astro Arena, Bola@Mamak.

“Jangan cemburu dengan apa yang mereka ada. Cemburu dengan usaha mereka. Mereka melayan pemain seperti pemain berkelas dunia.

“Contohnya, sebelum saya bersama JDT, saya bermain untuk Selangor dan saya boleh memberikan 6/10.

“Kemudian di Johor saya boleh beri 10/10. Selepas itu saya keluar JDT untuk ke Melaka dan ia menjadi 5/10.

“Maknanya, sudah 10-15 tahun saya bermain dalam bola sepak di Malaysia, masih tiada perubahan dan satu-satunya kelab yang melakukan perubahan adalah JDT.

“Setiap kelab dalam Malaysia jangan cemburu dengan kejayaan JDT tetapi perlu cemburu dengan apa yang telah dilakukan mereka untuk kelab itu.

“Bagi saya, jika anda tidak mempunyai RM100, janganlah berbelanja lebih daripada RM100.”

Safiq juga berpandangan fasiliti yang bagus perlu disediakan oleh setiap pasukan bagi memastikan setiap pemain bermotivasi untuk menampilkan aksi yang terbaik ketika perlawanan.

“Pemain sepatutnya perlu datang ke sesi latihan dengan memikirkan apa yang hendak mereka lakukan dalam latihan. Bukannya memikirkan baju atau kasut apa yang perlu dipakai.

“Sepatutnya kelab sudah sediakan keperluan seperti itu dan pemain boleh fokus 100 peratus mengenai apa yang hendak dilakukan di atas padang.

“Seperti kita masuk ke pejabat tetapi tiada meja, tiada pen, tiada penghawa dingin dan kena buat kerja atas lantai.

“Sama seperti bola sepak, perkara utama adalah padang dan yang kedua adalah fasiliti. Pembinaannya hanya sekali tetapi ia boleh digunakan mungkin untuk 10 hingga 15 tahun.

“Kalau kita lihat di negara jiran, Thailand, bilik persalinan mereka amat sederhana tetapi padang mereka bertaraf dunia.

“Seperti Cardiff City, mereka hanya kelab kecil dalam liga divisyen dua (England) tetapi ditaja oleh Mercedes. Lihat pula fasiliti dan pusat latihan mereka.

“Saya tidak kata ia perlu dilakukan segera tetapi ia perlu dimulakan. Sama seperti membina perniagaan, sudah pasti anda mempunyai perancangan tentang di mana kedudukan anda selepas lima atau enam tahun.

“Ketika mula-mula saya menyertai JDT, TMJ menunjukkan kepada saya tentang perancangan JDT sehingga pembinaan stadium dan pada hari ini, JDT sudah mempunyai stadium sendiri.”

Sumber : https://football-tribe.com/malaysia/2020/11/17/safiq-rahim-lebih-10-tahun-jadi-pemain-di-malaysia-hanya-jdt-lakukan-perubahan/