Pemain Dari Eropah Barat Jadi Pilihan

KUALA LUMPUR: DNA Jerman terus ‘mengalir’ di Selangor FC selepas pasukan itu sah mengikat pertahanan tengah dari Eropah Barat itu, Tim Heubach untuk memperkasa benteng bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain dari Neuss, Jerman itu menjadi pemain import baharu pertama buat The Red Giants musim depan selain menjadi pemain baharu kedua selepas mereka sudah mengikat penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum ini.

Kelebihan fizikal dengan ketinggian 1.92 meter pasti ditagih untuk mengukuhkan lagi pertahanan Selangor FC selain pengalamannya beraksi di saingan Divisyen Dua Bundesliga menentang pasukan elit di Jerman.

Selangor bakal menjadi kelab Asia pertama buat pemain berusia 32 tahun itu dengan dia pernah beraksi bersama Borussia Monchengladbach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt selain di Maccabi Netanya dalam Liga Perdana Israel.

Pertahanan itu berkata, dia sudah ‘mengorek’ maklumat mengenai pasukan baharunya itu dan mengakui mahu merasai cabaran baharu dengan bola sepak di Asia.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baru di sini sebelum pulang ke Jerman suatu hari nanti.

“Semasa saya diberitahu oleh Michael Feichtenbeiner mengenai Selangor FC, saya sangat teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan Gergasi Merah di YouTube dan perlawanan siaran langsung.

“Jadi timbul keyakinan untuk saya bermain untuk pasukan ini dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada perancangan terbaharu Selangor FC,” katanya.

Sebagai rekod, Selangor FC mengekalkan dua pemain import daripada musim lalu iaitu penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin yang mengisi kuota import ASEAN.

Sumber- https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/12/764318/heubach-kawal-benteng-selangor-fc