Pemain Import Baharu Kedah?

Alor Setar : Spekulasi yang bertiup kencang mengenai pemain import kelahiran Lebanon, Rabih Ataya yang dikatakan akan menyertai Kedah bakal terjawab apabila kelibat beliau yang juga bekas pemain UiTM FC itu hadir ke Stadium Darul Aman hari ini.

Kelibatnya bersama ejennya memberi kejutan dan keceriaan buat penyokong Kedah apabila bekas pemain kebangsaan Lebanon berusia 31 tahun ini dikatakan bakal diikat Kedah sebagai persiapan memantapkan pasukan bagi menghadapi Piala AFC dan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber, pemain itu disahkan berada di Stadium Darul Aman hari ini dan urusan menandatangani pemain itu dijangka dilakukan mengikut perancangan yang diatur.

“Rabih Ataya hadir ke Stadium Darul Aman pada hari ini dan dalam proses untuk menandatangani kontraknya bersama Kedah untuk musim depan.

“Usaha mendapatkan khidmat Rabih Ataya sebagai import kuota Asia adalah bagi menggantikan tempat pemain import Amin Nazari yang tamat kontraknya pada musim ini.” katanya

Ataya membuktikan kemampuannya di Liga M melalui kebolehan kawalan bola yang baik, hantaran bola pantas, hantaran silang serta penyudah yang tajam. Dia mencatatkan sumbangan dua gol bersama The Lion Troops pada musim ini.

Kerjaya Ataya mula memuncak ketika dia mewakili kelab Ansar FC sejak tahun 2008 hingga 2016 di mana aksi selama lapan tahun bersama kelab di Beirut itu membuka ruang untuknya membuat 88 penampilan di Liga Premier Lebanese (LPL) dan merekodkan sumbangan 20 gol.

Selain itu dia juga membantu pasukan ‘Hijau Putih’ itu dalam saingan Piala AFC pada tahun 2013.

Dalam perkembangan lain skuad Lang Merah sebelum ini, Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengadakan perjumpaan khas bersama semua pemain serta barisan jurulatih skuad Kedah dua hari lalu sebagai penghargaan kepada mereka yang menyumbang bakti untuk kejayaan pada musim ini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/643607/kedah-sudah-ikat-rabih-ataya