Pendekatan Satu Langkah Tepat

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan satu kerugian sekiranya membiarkan Piala Malaysia terhenti di separuh jalan dengan kejohanan itu hanya berbaki tujuh perlawanan untuk menentukan juara.

Justeru, dia berpandangan pendekatan Liga Bolasepak Malaysia untuk menggunakan gelanggang pertandingan yang masih belum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menghabiskan baki saingan kejohanan tertua itu sebagai langkah tepat.

Katanya, itu pilihan terakhir bagi memastikan Piala Malaysia tidak dibatalkan buat kali pertama sejak 1947 yang pada waktu itu terkesan kerana Perang Dunia Kedua.

“Rayuan yang dikemukakan oleh MFL dengan menggunakan gelanggang yang tidak terbabit dengan PKPB adalah pilihan terakhir yang tinggal dan memang wajar ini sahaja dibuat bagi memastikan Piala Malaysia mampu diteruskan.

“Perlawanan sudah memasuki suku akhir. Saya rasa, lebih baik dihabiskan dan semua pasukan sudah melakukan persiapan, jadi saya harap rayuan MFL itu nanti boleh dipertimbang sebaik-baiknya oleh pihak berwajib,” katanya.

MFL sudah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 202.

Berdasarkan rayuan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL bersedia mengikut perancangan khas serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

Selain itu, MFL menyediakan perancangan di venue berkecuali PKPB seperti Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu bagi aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Dalam pada itu, Azraai berpandangan komitmen MFL selama ini mengikuti segala SOP yang ditetapkan oleh MKN perlu diberikan kredit dan sehingga kini masih belum ada kes COVID-19 berpunca daripada perlawanan membabitkan saingan Liga Malaysia.

“Sehingga kini kita tidak pernah dengar pula kluster pemain atau kluster stadium dan sebagainya kerana sepanjang saingan sebelum ini dan usaha MFL harus kita puji dalam mematuhi segala SOP yang disediakan.

“Jadi, saya rasa kenapa aksi Liga Malaysia perlu dihentikan kerana semuanya masih baik setakat ini malah MFL sudah mengarahkan semua pasukan ikuti segala SOP yang ditetapkan,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/11/752727/rugi-batalkan-piala-malaysia