Pengarah Sukan Bayern Mengesahkan Perkara Itu

BERLIN: Juara baharu Piala Dunia Kelab, Bayern Munich bakal diperkuat pertahanan pesaing utamanya, Dayot Upamecano dari RB Leipzig musim depan.

Media Jerman melaporkan, Bayern akan membayar 43 juta euro (RM210 juta) untuk aktifkan klausa membeli Upamecano yang mempunyai kontrak dengan Leipzig sehingga 2023.

Juara Eropah itu dilihat berjaya mengalahkan saingan dari Liverpool dan Chelsea yang juga mahu mendapatkan khidmat pertahanan tengah berkenaan.

Upamecano akan menggantikan David Alaba, 28, yang bersedia meninggalkan Bayern selepas kontraknya berakhir Jun depan selepas beberapa kali menolak tawaran baru kelab itu.

Pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata dia boleh mengesahkan perpindahan pemain berusia 22 tahun itu.

“Saya boleh sahkan dan kami di Bayern sangat gembira mengenainya. Kami melakukan perbincangan profesional dan intensif dengan Dayot serta ejennya, Volker Struth beberapa bulan sebelum ini.

“Kami tahu mendapat tentangan sengit. Kami mempersembahkan visi kariernya di Bayern,” kata Salihamidzic.

Menurutnya, butiran perpindahan sudah dimuktamadkan ketika Bayern berada di Qatar di mana mereka berjaya mengalahkan Tigres di perlawanan akhir Piala Dunia Kelab untuk melengkapkan trofi keenam sejak tahun lalu. – AFP